Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tuduhan pada Guan Eng, isteri usaha PN samakan kes Najib dan Rosmah'
Diterbitkan:  Aug 9, 2020 4:42 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendakwa bahawa tuduhan rasuah terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew adalah untuk 'menyamakan' kes-kes bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Berucap di sesi dialog bersama akar umbi Pakatan Harapan (PH) Plus di Simpang Renggam, Johor hari ini, Liew berkata bahawa Lim yang kini dihadapkan pertuduhan meminta suapan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah usaha untuk menutup kritikan masyarakat terhadap hukuman penjara dan denda ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.

"Tuduhan pertama terhadap saudara Lim ketika beliau sebagai ketua menteri Pulau Pinang pada Mac 2016 atas nama 'kes banglo' adalah pada kemuncak skandal 1MDB melibatkan Najib.

"Tujuannya, untuk menunjukkan 'kedua-dua pihak adalah sama'. Taktik itu bagaimanapun, makan diri sendiri kerana masyarakat Malaysia tahu bahawa itu semua adalah sebahagian daripada permainan politik.

"Menjelang 2020, Lim dan isterinya Betty Chew sekali diseret ke dalam satu lagi pertuduhan supaya Perikatan Nasional (PN) dapat "menyamakan" (kes ini) dengan hukuman penjara dan denda terhadap Najib hanya seminggu yang lalu.

"Ini juga merupakan usaha untuk membuat Betty kelihatan seperti Rosmah 2.0," katanya.

Pada 7 Ogos, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Isterinya, Betty Chew, yang turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari yang sama untuk membantu siasatan berhubung kaitannya, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 Ogos.

Pembangkang mengkritik tuduhan ini sebagai mempunyai motif politik.

Sementara itu, Liew berkata bahawa tiada keperluan untuk menahan Lim dan bermalam di lokap SPRM di Putrajaya.

"SPRM masih boleh memberitahu Lim supaya hadir ke mahkamah pada waktu tertentu," katanya dalam sesi tersebut.

Turut hadir pada sesi itu ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik dan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

Untuk rekod, pada 28 Julai Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa dalam perbicaraan SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Rosmah  pula sedang menghadapi beberapa pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam respons segra, Najib mempersoalkan mengapa dia dipersoalkan dalam kes Lim.

"Sekiranya DAP benar-benar percaya bahawa SPRM tidak memiliki sedikit pun bukti, pastikan Guan Eng tidak berusaha untuk menangguhkan perbicaraannya agar ketiadaan bukti SPRM didedahkan di mahkamah.

"Tolong jangan biarkan Guan Eng menangguhkan perbicaraannya lagi selama dua tahun seperti yang dilakukannya dengan kes mahkamah banglo dengan mencabar tindakan SPRM sebagai tidak berperlembagaan," katanya di Facebook.

 

Lihat Komen
ADS