Pertikaian berhubung isu hak keistimewaan Melayu perlu dihentikan segera oleh semua pihak bagi mengembalikan persefahaman yang telah wujud di negara ini.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi, pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan hak keistimewaan Melayu sudah cukup jelas dan tidak perlu dipertikaikan.
"Semua pihak perlu tutup kes ini dan kembalikan jalinan persefahaman yang sedia ada demi pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai penyatuan fikiran dan perasaan bagi mewujudkan integrasi Nasional yang sebenar" jelas beliau kepada malaysiakini .
Tengah hari tadi Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir telah menyerahkan memorandum kepada Persatuan Suqiu menyatakan kekesalan mereka terhadap 17 tuntutan yang didakwa mempersoalkan kedudukan kaum Melayu dan Bumiputra. Hampir 200 orang telah berhimpun di luar Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur.
Exco Pemuda Umno Mohd Norza Zakaria yang turut mengiringi majlis penyerahan memo berkata, tujuan pertubuhan adalah ikhlas dan berharap perkara tersebut tidak dibangkitkan lagi.
"Kita hanya menyerahkan memo tersebut dan memberi tempoh seminggu kepada mereka (persatuan Suqiu)," ujar Norza berhubung memo yang meminta persatuan Suqiu menarik balik tuntutan yang didakwa bermaksud memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu.
Apabila ditanya berhubung permit perhimpunan tersebut, beliau menjelaskan Pemuda Umno tidak merancang perhimpunan itu.
"Mereka yang hadir menyokong tindakan ini adalah ahli Umno di sekitar Lembah Kelang," tegas Norza.
Semalam, malaysiakini melaporkan bahawa persatuan itu tidak pernah mempersoalkan peruntukan yang terkandung dalam Fasal 153 Perlembagaan Negara itu ([#1] Ketuanan Melayu mainan media[/#] 17 Ogos). Sementara banyak pihak telah mempersoalkan pelaksanaan dasar berhubung sikap pilih kasih dan unsur nepotisme yang diamalkan sekarang.
'Sandiwara Umno'
Sementara itu Ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Noor mengulas bahawa isu yang telah dimainkan oleh pihak media ini adalah sandiwara Umno.
"Mereka gunakan isu perkauman untuk mengalihkan pandangan rakyat bahawa Umno adalah pembela orang Melayu," ujar Ezam.
Beliau mencabar kerajaan pimpinan Umno itu supaya menunjukkan keikhlasan dengan mengembalikan semula hak-hak orang Melayu.
"Orang Cina tidak mempersoalkan hak Melayu itu tetapi Dr Mahathir yang telah merampasnya," jelas beliau sambil memberikan contoh hak biasiswa kepada pelajar Melayu telah digantikan dengan pinjaman pelajaran.
Kuan Yew persoal Dr Mahathir
Ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew mempersoalkan tindakan Dr Mahathir terhadap bekas timbalan perdana menterinya, ([#2] Mahathir paid heavy price for 'error of judgment', says Lee [/#], 17 Ogos) Ezam tidak menafikan bahawa Dr Mahathir telah menerima tamparan yang hebat.
"Kuan Yew nampak Dr Mahathir cukup lemah dan perkara ini turut dipersoalkan oleh pihak media di Singapura," ujar Ezam lagi.
Malaysiakini telah melaporkan kenyataan bekas Presiden Singapura itu menyifatkan penahanan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan siasatan terhadap tindakan bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor berhubung peristiwa "mata lebam" Anwar sebagai "penilaian yang salah".
Bagaimanapun, Norza pula membidas bahawa pihak luar tidak sepatutnya campurtangan terhadap urusan dalaman kerajaan Malaysia.
Katanya, kerajaan telah mempertimbangkan soal penting seperti keselamatan berhubung tindakan ISA itu.
Sementara Zahid tidak mahu mengulas isu itu dan menyerahkan keputusan kepada mahkamah berhubung rayuan Rahim Noor bulan depan sambil berharap pihak mahkamah akan menegakkan keadilan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi itu.
