Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Redzuan: Jawatan pengerusi Bersatu mungkin dimansuhkan

Jawatan pengerusi Bersatu yang sebelum ini disandang Dr Mahathir Mohamad mungkin akan dimansuhkan daripada struktur parti, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof.

Mohd Redzuan berkata sepatutnya hanya ada seorang pemimpin tertinggi dalam parti itu.

"Ya, insya-Allah (jawatan pengerusi akan ditiadakan) sebab kita sudah nampak masalahnya.

"Kapal perlu ada seorang nakhoda saja (there must be one captain in a ship). Jawatan itu akan dilupuskan," katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Dia menjawab soalan pemberita berhubung sama ada jawatan tersebut akan dilupuskan atau tidak, sewaktu mengulas konflik antara Mahathir dengan presiden Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Terdahulu Mohd Redzuan ditanya adakah Bersatu berasa tergugat dengan penubuhan parti baru Mahathir.

Berdasarkan kenyataan Mahathir, parti tersebut dikatakan "akan berasas kepada perjuangan untuk orang Melayu dan pribumi" seperti Bersatu yang diasaskannya sebelum ini. 

Pengumuman itu turut menyaksikan ramai pemimpin Bersatu di pelbagai peringkat mengumumkan pengunduran mereka daripada parti berkenaan untuk menyertai Mahathir.

Tak terbubar ikut perlembagaan

Selain ahli parlimen Langkawi itu, gerakan berkenaan turut disertai bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, bekas timbalan menteri kewangan, Amiruddin Hamzah, dan bekas timbalan menteri kerja raya yang dilantik Muhyiddin, Shahruddin Md Salleh dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mengikut perlembagaan Bersatu, jawatan tertinggi ialah pengerusi. Ia pernah menjadi pertikaian dan konflik ketika Muhyiddin membawa parti berkenaan bekerjasama dengan Umno, PAS dan BN.

Mohd Redzuan berkata dia melihat penubuhan parti baru itu sebagai kebangkitan yang boleh memperkasakan Bersatu.

“Kita tak nak pecah-belahkan kesatuan ahli-ahli Bersatu. Kita perlu jelaskan kepada orang yang nak tinggalkan Bersatu dan ini cabaran berat sebab kita akan ambil masa supaya mereka faham bawah kepemimpinan presiden (Muhyiddin).

“Bersatu diasaskan oleh Muhyiddin. Tun M (Mahathir) ketika itu dijemput sebagai ahli dan beliau mahu jadi penasihat.

“Tapi oleh hemah kita sebagai pimpinan tertinggi, saya sebagai salah seorang pengasas parti, memberi laluan untuk seorang negarawan agar dimasukkan ke perlembagaan satu jawatan yang kita panggil sebagai pengerusi.

“Ini kita tahu masalahnya kalau kita ada satu kapal dua nakhoda… inilah yang kita hadapi,” katanya.

Jelas Redzuan lagi, mesyuarat akan dibuat untuk meminda perlembagaan tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan tempoh tertentu berhubung pindaan berkenaan.

Redzuan juga berkata setakat ini tiada satu pun bahagian Bersatu yang dibubarkan mengikut perlembagaan meskipun terdapat beberapa pimpinan keluar dari parti tersebut. 

Lihat Komen
ADS