Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur tahap inflasi negara, mencatat tahap 4.8 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini ekoran kenaikan dalam harga runcit petroleum, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Hoo Seong Cheong.

Katanya, kenaikan harga runcit petroleum ini juga didorong oleh kenaikan dalam indeks pengangkutan.

"Sehingga Mei 2006, pengangkutan telah menyumbang secara purata hampir 50.4 peratus kepada IHP," katanya menjawab soalan Dr Muhamad Shahrum Osman (BN-Lipis) di Dewan Rakyat semalam.

Berikutan peningkatan ini, katanya, kementerian berkenaan telah menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung kenaikan harga barangan dan mengelak rakyat menanggung beban yang meningkat.nya.

Menurutnya, dari 28 Feb hingga 18 Jun lalu, sejumlah 542 kes membabitkan kesalahan menaikkan harga telah disabitkan hasil daripada 640 aduan yang diterima sepanjang tempoh itu. Ia membabitkan nilai rampasan berjumlah RM256,089.83 dan kompaun bernilai RM56,350.

Menurut laporan Bernama, Kementeriannya juga telah menubuhkan pasukan khas, yang turut dianggotai Polis, Kastam, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan bukan kerajaan, bagi menangani isu kenaikan harga.

Katanya aktiviti-aktiviti kesedaran kepenggunaan seperti sesi taklimat, ceramah dan program penerangan turut ditingkatkan bagi menyedarkan pengguna tentang hak dan kuasa mereka dalam pasaran.

"Dari 28 Februari 2006 hingga 2 Jun 2006, sebanyak 117 program penerangan dan kempen, melibatkan 25,297 pengguna dijalankan oleh kementerian," katanya.