Pemimpin Keadilan dakwa sekatan ke atas Dr Badrul bermotif politik
Seorang pemimpin Keadilan mendakwa sekatan yang dikenakan terhadap ahli Majlis Perwakilan Tertinggi Keadilan, Dr Badrul Amin Baharon selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting mempunyai motif politik.
Seorang pemimpin Keadilan mendakwa sekatan yang dikenakan terhadap ahli Majlis Perwakilan Tertinggi Keadilan, Dr Badrul Amin Baharon selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting mempunyai motif politik.
Badrul dibebaskan petang Sabtu lalu selepas ditahan selama 197 hari di kem Kamunting sejak 2 Jun lalu. Bagaimanapun, beliau dibuang daerah ke Gombak serta tidak dibenarkan aktif dalam kegiatan politik.
Selain dibuang daerah, aktivis politik kelahiran Tawau, Sabah itu tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan parti, terlibat dalam aktiviti politik, menjadi penasihat parti dan memberi ceramah dalam perhimpunan umum.
"Sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap Badrul menunjukkan wujudnya motif politik oleh pihak berkuasa," kata naib setiausaha Pemuda Keadilan, Diong Chi Tzuoh.
Menurutnya, sekatan buang daerah yang dikenakan terhadap Badrul itu selalunya dikenakan ke atas mereka yang terbabit dengan jenayah penyeludupan dadah atau perjudian.
Diong menyifatkan sekatan terhadap Badrul yang juga merupakan ketua bahagian Keadilan Sabak Bernam dan juga ketua Pemuda Sabah itu, tidak relevan dengan alasan pertuduhan semasa beliau ditangkap di bawah ISA.
"Ia (sekatan-sekatan) lebih kepada menghalang beliau daripada melibatkan diri dalam politik," katanya.
Badrul dan sembilan aktivis reformasi telah ditahan di bawah akta itu pada awal April lalu atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan dengan menggunakan cara militan dan demonstrasi jalanan. Empat daripada mereka dibebaskan manakala yang lain ditahan di kem Kamunting.
Mereka yang masih ditahan untuk tempoh dua tahun di kem itu ialah timbalan presiden parti Tian Chua, ketua pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, aktivis reformasi Saari Sungib dan Lokman Noor Adam, dan penulis malaysiakini , Hishamuddin Rais.
Bebas tanpa syarat
Sementara itu, Jemaah Islah Malaysia (JIM) mengesa pihak berkuasa membebaskan kesemua tahanan di bawah akta itu tanpa syarat.
"JIM mengesa pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab pemegang amanah rakyat bagi kesejahteraan dan keselamatan negara dengan membebaskan kesemua tahanan politik ISA yang masih ditahan seberapa segera tanpa sebarang syarat," kata Presiden JIM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau menegaskan syarat-syarat yang dikenakan ke atas Badrul bercanggah dengan perlembagaan Malaysia dan hak asasi manusia.
"Pembebasan bersyarat ini sebenarnya tidak akan membantu meredakan perasaan tidak puas hati dan kesangsian rakyat terhadap tindakan pihak berkuasa," katanya.
Menurutnya lagi, pihak berkuasa perlu melayani Badrul sesuai dengan tarafnya sebagai seorang rakyat yang bebas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.