Pendedahan mengenai majoriti menteri kabinet yang gagal menjelaskan saman trafik, telah menimbulkan tandatanya bagaimanakah cukai jalan kenderaan mereka diperbaharui setiap tahun.

Menurut seorang pegawai JPJ, pemilik kenderaan yang gagal membayar saman trafik tidak boleh memperbaharui cukai jalan mereka sehinggalan ianya dijelaskan.

Adalah menjadi satu kesalahan menggunakan kenderaan yang tidak mempunyai cukai jalan yang mesti diperbaharui setiap tahun.

Maklumat mengenai saman trafik yang belum dijelaskan akan tercatat dalam rangkaian komputer yang disambung terus ke JPJ.

Jika terdapat saman trafik, pengguna terbabit akan diminta membayarnya terlebih dahulu sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Di segi teorinya, begitulah. Tetapi realitinya agak berbeza, kata seorang pakar kenderaan yang tidak mahu disebut namanya.

Menurutnya, jika pihak polis tidak menghantar maklumat mengenai saman trafik kepada JPJ, maka pemilik kenderaan terbabit masih boleh membaharui cukai jalannya.

"Kerana itulah kadangkalanya anda boleh membaharui cukai jalan walaupun mempunyai banyak saman trafik yang belum dijelaskan," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, jika saman tersebut dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasa JPJ sendiri, maka sudah pastilah pesalah trafik berkenaan tidak boleh membaharui cukai jalan kenderaannya.

Kebanyakam saman trafik dikeluarkan oleh pihak polis, memandangkan JPJ tidak mempunyai ramai anggota untuk berbuat demikian.

Sistem Kejara

Satu persoalan ialah mengapa lesen memandu mereka, atau pemandu mereka tidak digantung selepas melakukan begitu banyak sekali kesalahan trafik.

JPJ juga mempunyai sistem Kejara di mana para pemandu yang memperolehi lebih 15 mata bagi kesalahan trafik yang dilakukan, akan digantung lesen mereka selama enam bulan.

Jika mereka masih terus menerus melakukan kesalahan trafik, lesen mereka boleh dibatal terus.

Memandu melebihi had laju merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh para menteri dan dalam sistem Kejara, kesalahan tersebut memberi enam hingga 15 mata, bergantung kepada keseriusan kesalahan yang dilakukan.

"Bagaimanapun, bagi menjayakan sistem Kejara tersebut, pegawai polis perlu mengisi borang. Ia satu sistem yang komplikated yang jelas ianya tidak berkesan kerana tidak ada lesen menteri terbabit yang digantung atau dibatalkan," kata pakar tersebut.

Dwi-standard

Beliau juga membidas beberapa orang menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mendakwa kenderaan miliknya dipandu oleh orang lain sewaktu kesalahan trafik itu dilakukan.

"Jika anda meneliti bahagian bawah saman trafik tersebut, ia menyatakan jika anda bukan memandu kenderan terbabit, tetapi orang lain yang memandu kenderaan anda, maka anda boleh mengisi borang dan membawanya ke perhatian pihak polis. Pihak polis akan mengeluarkan saman baru.

"Kita tidak pasti sama ada seorang menteri itu yang memandu kenderaan terbabit atau tidak. Tetapi takkanlah mereka boleh mengatakan tidak tahu menahu mengenai kesalahan trafik yang membabitken kenderaan di bawah nama mereka.

"Satu-satunya kemungkinan ialah pembantu mereka merahsiakan saman tersebut, tetapi agak pelik pula jika saman tersebut tidak dibayar sehingga tujuh tahun lamanya," katanya.

Mengenai mengapa menteri-menteri terbabit tidak dikenakan tindakan, pakar tersebut berpendapat ia mungkin disebabkan oleh faktor kelewatan, tidak cekap dan takut untuk mengambil tindakan terhadap orang kenamaan.

Menurut polis, sama bernilai lebih RM2.82 bilion masih belum dijelaskan oleh 9.4 pemandu sejak 2001 hingga 2004 di seluruh negara.

Malaysiakini juga telah memohon untuk mewawancara pihak polis trafik. Surat tersebut dihantar minggu lalu dan masih menunggu jawapannya. Terjemahan

Senarai penuh menteri kabinet dan saman yang belum dibayar