Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrir 'puji' penubuhan jawatankuasa fokus Felda
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 10:19 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad, secara sinis memuji langkah kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan sebuah badan khas 'masalah' dihadapi agensi berkenaan.

Membuat hantaran di media sosial, Shahrir berkata, tindakan tersebut - yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed - menunjukkan "kehebatan 2.0".

"Inilah (mercu tanda) seorang pegawai awam yang hebat!

"Apabila berdepan dengan teguran/kritikan tentang sesuatu perkara yang bermasalah, tubuh suatu jawatankuasa (khas ke, kerja ke atau fokus ke) untuk membincang dan cari 'penyelesaian' masalah itu," katanya semalam.

Menyertai hantaran itu ialah laporan berita portal Free Malaysia Today mengenai penubuhan "jawatankuasa fokus" untuk membincangkan isu Felda dengan lebih terperinci.

Menurut Mustapa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi, kerajaan PN berharap dengan penubuhan jawatankuasa yang dianggotai anggota Parlimen itu, beberapa perakuan dapat dilakukan dalam tempoh dua bulan ini, seperti berkenaan hutang peneroka menerusi skim tanam semula sawit, perumahan generasi kedua dan pewarisan tanah.

“Mungkin saya akan berbincang dengan pengerusi Felda mengenai hal ini supaya perkara yang tidak dapat dijawab dalam Dewan Rakyat dapat diselesaikan segera,” katanya di pada 10 Ogos.

Felda merupakan antara badan yang menjadi perhatian ramai dan diberi turut diberi perhatian mendalam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menteri kuat berkokok

Ia berada bawah portfolio Azmin Ali yang ketika itu menjadi menteri hal ehwal ekonomi.

Isu Felda juga menyaksikan beberapa tokoh berprofil tinggi - termasuk Shahrir sendiri - didakwa di mahkamah. Mereka mengaku tidak bersalah dan sedang dibarakan.

Menurut Shahrir sebelum ini Azmin ada menyebut mengenai isu rumah generasi kedua Felda dalam kertas putih kerajaan.

"Takkan kerajaan PH - setelah Kertas Putih itu dibentang dengan penuh drama - tidak bagi peruntukan untuk menyiapkan rumah-rumah yang terbengkalai itu?

"Semasa saya pengerusi pun, menteri yang jaga Felda bersetuju memberi peruntukan kepada Felda untuk siapkan rumah-rumah itu secara berperingkat.

"Azmin Ali kuat berkokok dengan bahasa tahap tinggi!

"Ni, Mustapa Mohamed pula cadangkan suatu jawatankuasa fokus! Yang best, dianggotai oleh ahli-ahli parlimen yang banyak menyoal mengenai hal Felda.

"Hebat betullah kerajaan 2.0 ini!" katanya.

Untuk rekod Mustapa adalah antara pemimpin kanan Umno yang bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas PRU ke-14 lalu.

 

Lihat Komen
ADS