Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Koperal polis dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan terima rasuah
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan meminta rasuah daripada orang awam pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohd Yusry Borhan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Sentral Johor Bahru didakwa secara rasuah meminta suapan berjumlah RM2,000 secara bulanan daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk memberikan maklumat sekiranya ada serbuan dan operasi yang dijalankan oleh cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Sentral.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sentral Johor Bahru pada pukul 7 malam, 16 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,500 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk memberikan maklumat sekiranya ada operasi yang dijalankan oleh cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Sentral.

Perbuatan itu dilakukan di Merlin Tower, Jalan Meldrum di Johor Bahru pada pukul 2.40 petang, 9 Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Yunus Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan dengan isterinya sebagai penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS