Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Lapan kes import, 3 penularan dalam negara
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 5:42 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan 11 lagi kes positif baru Covid-19 direkodkan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,114 kes.

Daripada jumlah itu lapan kes adalah kes import melibatkan tujuh warganegara dan seorang bukan warganegara yang memasuki negara ini dari Singapura, Filipina, Australia dan Jepun.

Tiga kes lagi merupakan penularan dalam negara membabitkan dua kes di kalangan warganegara Malaysia dan satu kes di kalangan bukan warganegara.

"Dua kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di negeri Kedah.

"Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kedua-dua kes ini tidak berkait rapat antara satu sama lain," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, satu kes jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara pula adalah saringan tahanan baru di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.

Noor Hisham berkata sebanyak lapan kes pulih hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan yang telah pulih daripada Covid-19 adalah sebanyak 8,817 kes.

Selain itu terdapat satu kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Dia juga memaklumkan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini dengan jumlah kematian masih kekal sebanyak 125 kes.

 

Lihat Komen
ADS