KKM tunggu ujian makmal pelajar disyaki positif Covid-19
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu keputusan ujian makmal membabitkan seorang pelajar sekolah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang disyaki dijangkiti Covid-19, kata ketua pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham mengulas laporan yang tular di media sosial mengenai kes positif Covid-19 melibatkan seorang pelajar dari sebuah sekolah di Seri Pantai.
Katanya, siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan 5 dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos dan dibawa ke klinik swasta pada keesokannya.
Pelajar itu kemudian dipindahkan ke sebuah pusat perubatan dan telah menjalani saringan demam denggi dan Covid-19.
"Keputusan saringan demam denggi didapati positif namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi.
"Sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, pihak KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan," katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan orang guru dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut.
"Daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan untuk persampelan," jelasnya.

