Pemberian tanah punca program Dr M dibatalkan?
Apakah punca sebenarnya Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) menggesa Mubarak Kelantan membatalkan "Majlis Bersama Dr Mahathir" yang dijadual berlangsung di Kota Bharu pada 27 Julai depan?
Apakah punca sebenarnya Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) menggesa Mubarak Kelantan membatalkan "Majlis Bersama Dr Mahathir" yang dijadual berlangsung di Kota Bharu pada 27 Julai depan?
Ada pihak yang berpendapat ianya ada kaitan dengan pemberian dua keping tanah oleh kerajaan kepada Mubarak pusat di Lembah Kelang, termasuk di Ampang.
Difahamkan kedua-dua kawasan tersebut akan dimajukan dengan projek komersial, termasuk pembinaan bangunan mercutanda Mubarak.
Pada masa ini, pejabat Mubarak pusat terletak di tingkat 14, Bangunan Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengerusi Mubarak pusat, Tan Sri Abdul Razak Alias ketika dihubungi mengesahkan bahawa Mubarak pusat telah diberi tanah tersebut oleh pihak kerajaan bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau menafikan yang kesungguhan pihaknya supaya 'Majlis Bersama Dr Mahathir' itu dibatalkan, ada kaitan dengan pemberian tanah tersebut.
"Memang benar Mubarak mendapat dua keping tanah di Kuala Lumpur tetapi permohonan untuk mendapatkanya telah dibuat sejak lama dulu," katanya tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Mubarak Kelantan telah mengambil keputusan untuk membatalkan penganjuran 'Majlis Bersama Dr Mahathir' itu dalam mesyuaratnya yang berlangsung petang semalam.
Setiausaha Mubarak Kelantan, Jelani Jaafar ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut diadakan di rumah Pengerusi Mubarak negeri, Datuk Ahmad Shahibuddin di Kota Bharu.
Mubarak K'tan diperalatkan?
Keputusan tersebut dibuat atas arahan Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Mubarak pusat yang menganggap majlis tersebut tidak sesuai diadakan sekarang, ekoran krisis antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Jelani juga mendakwa, ada pihak tertentu yang mahu Mubarak Kelantan meneruskan program tersebut dan sanggup membiayai semua kos dan pengurusan program tersebut, termasuk kos menyediakan makanan, pengangkutan dan penginapan.
"Mubarak hanya diminta menjadi tuanrumah bagi menjayakan program tersebut," katanya.
Sementara itu, Abdul Razak mendakwa 'Majlis Bersama Dr Mahathir' merupakan usaha persendirian Ahmad Shahibuddin dan bukannya oleh Mubarak Kelantan.
Katanya, perkara ini diberitahu sendiri oleh Ahmad Shahibuddin kepada beliau dalam satu pertemuan di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
"Berikutan itu saya telah meminta Datuk Ahmad Shahibuddin supaya tidak melibatkan nama Mubarak dalam menganjurkan majlis tersebut," katanya.
Beliau berkata, dalam mesyuarat Mubarak Pusat di Kuala Lumpur sebelum itu, semua cawangan Mubarak dari seluruh negara, kecuali Kelantan setuju supaya majlis tersebut ditangguh atau dibatalkan.
Abdul Razak berkata, walaupun Dr Mahathir merupakan penaung Mubarak tetapi dalam isu tersebut pihak persatuan mengambil pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.