Peguam tubuh badan bela agama Islam
Kira-kira 100 peguam Islam menghadiri satu mesyuarat di bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan semalam untuk menubuhkan sebuah badan Peguam Pembela Islam (PPI) bagi menangkis apa yang mereka sifatkan sebagai usaha besar-besaran untuk menyerang Islam.
Kira-kira 100 peguam Islam menghadiri satu mesyuarat di bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan semalam untuk menubuhkan sebuah badan Peguam Pembela Islam (PPI) bagi menangkis apa yang mereka sifatkan sebagai usaha besar-besaran untuk menyerang Islam.
Agenda utama PPI ialah untuk menangani "pendirian partisan (berat sebelah)" Majlis Peguam dalam kes-kes orang Islam yang murtad. Dalam jangka panjang, PPI juga akan berusaha menangkis usaha pihak-pihak tertentu untuk 'meliberalkan' Perlembagaan Persekutuan.
"Menyedari serangan terhadap agama Islam baru-baru ini, maka sekumpulan peguam Islam telah mengadakan satu mesyuarat untuk mengambil tindakan bagi mempertahankan kedudukan agama Islam dalam negara ini," kata bekas Presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria.
"Sesetengah pihak telah mempersoal dan mencabar kedudukan dan status agama Islam di negara ini dengan menggunakan hujah bahawa hak asasi manusia individu adalah lebih tinggi daripada Islam," tambahnya.
Zainur (kiri) mengetuai jawatankuasa penaja PPI yang turut dianggotai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman, Zulkifli Nordin, Shamsuriah Sulayman, Zaiton Othman, Mohd Razi, dan 10 peguam kanan sivil dan syariah.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan mengenai rayuan seorang pemeluk agama Kristian, Lina Joy, Majlis Peguam yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar sebagai pemerhati, telah dipersoalkan mengenai 'pendirian partisannya' berhubung kes tersebut.
Bagi memperkukuhkan Islam
Dalam perbicaraan awalnya, Malik telah berhujah bahawa Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan beragama, membenarkan Lina Joy mengisytiharkan agama pilihannya tanpa perlu mendapat pengesahan pihak berkuasa agama Islam.
Manakala Zulkifli yang mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pula berhujah bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai mandat untuk menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau menentang kes tersebut di mahkamah.
Zulkifli juga menekankan bahawa hujah Malik itu tidak mewakili pandangan 4,000 ahli Majlis Peguam.
Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh kemudiannya telah menyuarakan sokongan penuh majlis tersebut terhadap 'pendirian partisan' yang dinyatakan oleh Malik itu.
Dalam pertemuan semalam, ahli jawatankuasa PPI berkata, satu resolusi mengenai perkara tersebut telah mendapat sokongan lebih 50 peguam Islam dan akan dihantar kepada Majlis Peguam secepat mungkin.
Sewaktu mesyuarat tersebut, yang turut dihadiri oleh beberapa badan Islam bukan kerajaan, Zulkifli berkata, para peguam Islam patut bersama menegakkan kekuatan Islam dalam rangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di negara ini.
"Jika (pihak-pihak tertentu) mahu perlembagaan diliberalkan, kita mahu perlembagaan diperkukuhkan lagi untuk mencerminkan keulungan Islam," kata Zulkifli.
Zulkifli (kiri) yang membidas sikap tidak ambil kisah di kalangan ramai peguam Islam dan NGO Islam berhubung isu tersebut juga berkata isu murtad mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat Islam.
Hujahnya, antara implikasi membenarkan umat Islam di negara ini menjadi murtad ialah agama itu boleh diterjemahkan dan diamalkan mengikut kehendak penganutnya.
Mereka menganut agama tersebut, boleh pada bila-bila, mengisytihar mereka murtad dari agamanya bagi mengelak dikena hukuman mengikut agama Islam, katanya merujuk kepada hukum haram terhadap perbuatan zina dan perkara-perkara lain.
Zulkifli juga berkata badan-badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pelbagai jabatan dan majlis agama Islam negeri juga akan kehilangan kuasa mereka.
Kedudukan Raja-Raja Melayu juga akan terjejas kerana perkara-perkara mengenai agama yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan lagi terletak di bawah kuasa sultan, tambahnya.
Lebih penting lagi, tegas Zulkifli, umat Islam tidak lagi ada jaminan bahawa anak-anak mereka akan mengamalkan rukun dan amalan agama Islam apabila pintu murtad dibuka kepada mereka yang sudah cukup umur.
Di samping itu, katanya, soal murtad itu juga telah menimbulkan persoalan mengenai definasi dalam perlembagaan mengenai orang Melayu, yang berasaskan kepada pengamalan adat istiadat Melayu, menggunakan bahasa Melayu dan beragama Islam. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.