Saksi boleh beri keterangan melalui video
Saksi kini boleh memberi keterangan melalui rakaman video atau televisyen dalam semua kes di mahkamah supaya mereka dapat memberi keterangan secara bebas dan tanpa rasa takut atau terancam.
Saksi kini boleh memberi keterangan melalui rakaman video atau televisyen dalam semua kes di mahkamah supaya mereka dapat memberi keterangan secara bebas dan tanpa rasa takut atau terancam.
Peruntukan itu yang hanya diberikan untuk saksi dan bukannya tertuduh, bagaimanapun masih memerlukan kebenaran mahkamah, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Katanya, peruntukan itu yang membabitkan sekysen baru, 272B Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan 2004), menggantikan subseksyen (2) yang mengehadkan penggunaan video dalam kes tertentu seperti kesalahan "menyerang, atau kecederaan atau ancaman mencederakan".
Bagi kes lain, subseksyen (2) menyebut ia memerlukan ketetapan Menteri setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Pendakwaraya, dengan melibatkan proses tertentu.
"Proses ini akan mengambil masa yang panjang untuk sesuatu kesalahan lain itu, ditetapkan sebagai kesalahan yang membolehkan keterangan saksi secara langsung atau menerusi televisyen.
"Jawatankuasa memutuskan untuk memotong subseksyen (2) supaya semua jenis kesalahan boleh dibicarakan dengan menggunakan keterangan secara langsung atau televisyen," katanya ketika membentangkan pindaan Kanun Tatacara Jenayah di Dewan Rakyat hari ini.
'Prime facie'
Menurut laporan Bernama, Radzi ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004.
Pindaan kanun itu turut memberi tafsiran kepada "prima facie" dengan menyebut "sesuatu kes prima facie yang diperoleh daripada tertuduh, dengan pendakwaan berjaya mendapatkan bukti bersabit kesalahan dan jika tidak dipatahkan atau dijelaskan, membolehkan sabitan".
Pindaan itu, yang mengambil kira representasi orang ramai, menggantikan perenggan 173(h) dan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah.
Radzi menambah perenggan 173(ha) turut dimansuhkan kerana pihak jawatankuasa sependapat dengan pandangan umum bahawa adalah tidak adil untuk membenarkan pendakwaan memeriksa balas tertuduh mengenai pemberian pernyataan tidak bersumpah.
Sementara itu, Seksyen baru 51A dimasukkan dalam kanun berkenaan yang mewajibkan pihak pendakwa membekalkan dokumen atau laporan yang akan menjadi sebahagian daripada kes pendakwaan, kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
"Jawatankuasa berpendapat bahawa fakta-fakta yang menguntungkan kepada pembelaan yang diperoleh semasa siasatan, hendaklah diberi kepada pihak pembelaan untuk keadilan sesuatu kes," katanya.
Mudah buat laporan
Sementara itu, katanya, orang awam kini boleh membuat laporan polis di mana-mana balai atau pondok polis atau kepada anggota polis yang sedang menjalankan rondaan.
Sebelum itu, katanya, ini orang ramai sering mengadu sukar untuk membuat laporan polis apabila mereka diminta membuat laporan hanya di balai polis tertentu.
"Ada sesetengah laporan yang hendak dibuat oleh orang ramai tidak diterima atas pelbagai alasan seperti kerugian yang dialami adalah terlalu kecil dan isu yang dikemukakan hanya isu rumah tangga.
"Kesukaran itu juga turut disebabkan oleh faktor seperti kejadian yang hendak dilaporkan berlaku dalam kawasan pentadbiran polis yang berlainan atau berada di lokasi yang menyulitkan," katanya.
Radzi berkata ekoran sungutan orang ramai itu, Jawatankuasa bersetuju supaya subseksyen 107(1) Kanun Tatacara Jenayah dipinda untuk membolehkan mana-mana pegawai polis yang bertugas, sama ada di dalam atau di luar balai polis untuk menerima sebarang laporan yang dibuat oleh sesiapa jua.
Bagaimanapun, beliau berkata laporan polis tidak boleh dibuat melalui e-mel, lamanweb, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon kerana pengadu diperlukan untuk menandatangani laporan itu.
"Tatacara ini bertujuan mengelakkan daripada mana-mana orang membuat laporan palsu yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan," katanya.
Pernyataan beramaran
Menurutnya, pindaan kanun itu juga mencadangkan supaya kesalahan seksual dijadikan sebagai satu kesalahan yang wajib dilaporkan demi kepentingan awam.
Katanya, pindaan kanun itu turut memasukkan seksyen baru 107A bertujuan membenarkan mana-mana orang membuat laporan polis yang meminta polis memberikan laporan mengenai status penyiasatan mengenai laporan yang dibuatnya itu.
"Pemberi maklumat boleh melaporkan kepada Pendakwa Raya jika pihak polis gagal memberikan laporan kedudukan penyiasatan itu kepadanya," katanya.
Cadangan lain yang terbabit dalam pindaan itu ialah:
* Seksyen 112 dan 113 masing-masing berhubung pernyataan beramaran. Jawatankuasa berpendapat bahawa peruntukan itu haruslah dimansuhkan kerana kebolehterimaan sesuatu pernyataan beramaran di bawah seksyen 113.
Akibat utama pindaan itu ialah pihak polis tidak boleh merakam pernyataan beramaran daripada orang kena tangkap. Semua pernyataan akan dirakam di bawah seksyen 112 dan pernyataan itu tidak boleh digunakan sebagai keterangan di mahkamah.
* Memansuhkan seksyen 115 mengenai tatacara rakaman pengakuan oleh seorang majistret.
Jawatankuasa berpendapat bahawa seorang majistret bertugas untuk mendengar dan membicarakan kes dan beliau tidak sepatutnya ditugaskan merakam pengakuan daripada orang kena tangkap.

