Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat'
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 5:53 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

PAS kelihatan begitu bersemangat untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) sekali gus mendapatkan mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan.

Ketika ini kata presidennya, Abdul Hadi Awang, kerajaan Perikatan Nasional dibentuk hanya dengan "mandat daripada wakil rakyat".

Abdul Hadi berkata mandat berkenaan perlu diperolehi daripada rakyat untuk diberikan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita bersedia (hadapi PRU) pada bila-bila masa. Perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat... sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Abdul Hadi yang dilantik Muhyiddin sebagai duta khasnya ke Timur Tengah ditemui media di Rusila, Terengganu, selepas menyampaikan kuliah mingguan hari ini.

Kerajaan PN dibentuk melalui pakatan sejumlah pemimpin kanan PKR dan Bersatu kumpulan Muhyiddin untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional - yang dianggotai Umno dan PAS - serta BN pada hujung Feb lalu.

Kecuali Bersatu, semua parti yang membentuk PN gagal mendapat mandat daripada rakyat dalam PRU ke-14 yang diadakan pada Mei 2018.


Baca Jangan-jangan kita jadi second fiddle saja - Shahrir


Keadaan itu mendorong sesetengah pihak mengkritik PN sebagai kerajaan pintu belakang atau - sambil memetik analogi Abdul Hadi sendiri - kerajaan tebuk atap.

PRU ke-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023 namun ada pihak menjangkakan parlimen mungkin dibubarkan lebih awal berdasarkan sokongan tipis yang dimiliki Muhyiddin di Dewan Rakyat ketika ini.

Selesai lebih 50 peratus

Abdul Hadi berkata PN berjaya membentuk kerajaan melalui persetujuan dicapai dalam kalangan anggota parlimen "pilihan rakyat" dan memperoleh majoriti mudah di parlimen.

"Jadi supaya kerajaan lebih teguh, perlu kepada mandat secara langsung daripada rakyat,” katanya.

Sementara itu anggota parlimen Marang itu juga mendakwa proses pembahagian kerusi dalam kalangan PAS, Umno dan Bersatu sudah mencapai tahap lebih 50 peratus.

Malah berdasarkan kepada kenyataan tersebut, Abdul Hadi mendakwa pengahigan kerusi di beberapa negeri sudah pun selesai meski pun di negeri lain ia masih dilakukan secara berperingkat.

“Kita tidak ada tarikh lagi (bila akan selesai), kita tetapkan peringkat demi peringkat dan kini prosesnya sudah lebih 50 peratus," katanya.

Ditanya mengenai persetujuan mengenai penggunaan logo tunggal dalam PRU akan datang, Abdul Hadi berkata, isu berkenaan masih belum dibincangkan.

“Logo belum bincang lagi, kita mulakan dengan pembahagian kerusi dulu,” katanya.

Lihat Komen
ADS