Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi mengaku tak dapat buktikan Zahid beri arahan

KES ZAHID | Seorang saksi mengaku dia tidak dapat membuktikan Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pembukaan fail untuk merekodkan transaksi bernilai puluhan juta Yayasan Al-Falah di sebuah firma guaman.

Memberi keterangan semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, rakan kongsi Lewis & Co, B Muralidharan turut berkata, dalam fail tersebut tiada dinyatakan ada arahan daripada Ahmad Zahid untuk menempatkan cek-cek yang ditunaikan dalam akaun simpanan tetap.

Hisyam: Kamu beritahu mahkamah bahawa Datuk Seri (Ahmad Zahid) arahkan kamu untuk bukan fail di bawah nama Yayasan Al-Falah. Kamu ada surat untuk buktikan yang Datuk Seri yang bagi arahan untuk buka fail di bawah Yayasan Al-Falah?

Muralidharan: Tidak yang arif. Saya tak ada (bukti).

Hisyam: Ada petanda (notation) di dalam fail itu bahawa Datuk Seri beri arahan yang menyatakan, lepas cek ditunaikan, ia mesti dimasukkan ke akaun simpanan tetap untuk Yayasan Al-Falah?

Muralidharan: Tiada dalam fail itu, yang arif.

Bagaimanapun, saksi ke-87 itu tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa ‘arahan’ untuk menempatkan wang ke akaun simpanan tetap - seperti yang disebut dalam pernyataan saksinya - sebenarnya tidak pernah diberikan oleh Ahmad Zahid.

Muralidharan turut tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa dialah yang mencadangkan perkara tersebut, dan bukannya Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi.

Bukan lembaga pemegang amanah

Berdasarkan keterangan saksi lain, Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid - Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi - manakala Yayasan Akalbudi adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Dalam keterangannya pada 12 Ogos lalu, Muralidharan mengaku semua 92 cek bernilai hampir RM77 juta yang dimasukkan ke akaun pelanggan yang dibuka untuk yayasan itu bukan datang daripada Yayasan Al-Falah sendiri, sebaliknya diberikan oleh Ahmad Zahid kepadanya.

Malah katanya, Ahmad Zahid yang mengarahkan dia membuka akaun itu, mengarahkannya menyimpan wang dalam akaun tersebut, dan mengarahkannya membuka satu fail untuk Yayasan Al-Falah mengandungi lejar bagi merekod semua transaksi berkenaan. 

Ketika disoal Hisyam tadi, Muralidharan bersetuju bahawa Ahmad Zahid bukanlah ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah dan tidak ada kena mengena dengan yayasan itu, manakala pelanggan Lewis & Co sebenarnya ialah Yayasan Al-Falah.

Hisyam: Dalam kata lain, kamu terima arahan daripada legal stranger (orang asing dari segi perundangan), ya atau tidak?

Muralidharan: Tidak.

Hisyam membidas jawapan Muralidharan itu sebagai menafikan logik, dan tidak sah dari segi undang-undag kerana keterangannya menunjukkan dia menerima arahan daripada seseorang yang tidak ada kena-mengena dengan pelanggannya - dalam kes ini, Yayasan Al-Falah - berhubung urusan wang berkenaan.

Bagaimanapun, Muralidharan tetap tidak bersetuju dengan cadangan yang beberapa kali dibangkitkan Hisyam itu.

Dalam pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi. Ia didakwa digunakan antaranya untuk membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta ringgit daripada pelbagai pihak. Ia kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk didepositkan ke dalam akaun pelanggan firma berkenaan.

Ahmad Zahid kemudian dituduh mengarahkan sebahagian besar wang itu untuk didepositkan ke akaun simpanan tetap di bawah Lewis & Co.

Tak tahu ada simpanan tetap

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Tadi, Muralidharan bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa firmanya berpuas hati bahawa dana yang diterima daripada Ahmad Zahid adalah untuk tujuan keagamaan dan kebajikan.

Dia juga mengaku tidak pernah menulis surat kepada bank, Bank Negara Malaysia (BNM) atau pihak berkuasa lain untuk melaporkan kecurigaan bahawa dana itu mungkin diperoleh daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Hisyam: Dalam kata lain, kamu puas hati dana itu sah dan tidak melanggar undang-undang.?

Muralidharan: Ya, yang arif.

Hisyam turut mengungkit semula keterangan daripada beberapa saksi sebelum ini yang menunjukkan sumbangan yang diberikan adalah untuk Yayasan Akalbudi.

Hisyam kemudian bertanya Muralidharan apakah dia ada membuat kesilapan apabila menyebut Yayasan Al-Falah sebagai pelanggannya.

Muralidharan menafikan pertikaian Hisyam itu.

Hisyam turut merujuk keterangan seorang ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, sebelum ini yang menyatakan, sepanjang pengetahuannya dia tidak mengetahui Lewis & Co ada membuat simpanan tetap untuk Yayasan Al-Falah.

Hisyam: Apakah kamu rasa ini aneh (atau tidak), dibuat oleh ahli lembaga pengarah Yayasan Al-Falah, (iaitu) pelanggan kamu?

Muralidharan: Ya. Saya rasa ia aneh, yang arif.

Hisyam: Saya cadangkan kepada kamu, bahawa kamu rasa ini aneh, kerana dana itu (sebenarnya) milik Yayasan Akalbudi.

Muralidharan: Tak, yang arif. Saya tak setuju.

Sebelum itu, pemeriksaan utama dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Lee Keng Fatt, Gan Peng Kun, dan Ahmad Sazilee Abdul Khairi di hadapan Hakim Cowlin Lawrence Sequerah.

Pemeriksaan balas ke atas Muralidharan bersambung 24 Ogos depan.

Lihat Komen
ADS