Sebuah jawatankuasa bersama telah ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah 50,000 hingga 100,000 rakyat Malaysia dan Thailand yang mempunyai dua kerakyatan.

Berikutan itu, Jabatan Pendaftaran kedua-dua buah negara akan membandingkan pangkalan data penduduk masing-masing untuk mengesan mereka yang mempunyai dua kerakyatan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masalah dua kerakyatan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra semasa pertemuan mereka di pejabat Thaksin di Government House semalam.

"Perdana Menteri Thaksin menyatakan Kerajaan Thailand berminat menyelesaikan perkara ini. Malaysia bersetuju ia diselesaikan... saya akan bawa perkara ini ke Kabinet," katanya.

Najib memberitahu demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia selepas pertemuan tersebut yang berlangsung sejurus selepas Najib tiba di Bangkok untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand ke-46 hari ini.

Menurut laporan Bernama, turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Thailand Chidchai Vanasatidya dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Shaarani Ibrahim.

Kumpulan militan

Sebelum ini, Kerajaan Thailand mendakwa ada kumpulan militan yang menentang kerajaan di tiga wilayah selatan yang bergolak sering bersembunyi di Malaysia kerana mempunyai kewarganegaraan kedua-dua negara.

Lebih 1,300 orang terbunuh dalam keganasan sejak Januari 2004 di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Najib berkata Thailand telah mendaftarkan rakyatnya menggunakan sistem kad pintar biometrik yang mempunyai cap jari tangan yang boleh dibandingkan dengan maklumat data Jabatan Pendaftaran Malaysia.

"Melalui maklumat data ini, kita boleh mengesahkan dua kerakyatan ini. Kalau hendak dibandingkan dari segi nama akan timbulkan masalah kerana nama berbeza di Thailand dan Malaysia," katanya.

Menurut Najib, selepas pengesahan dibuat, mereka yang dikesan mempunyai kerakyatan bersama akan diberi pilihan untuk memilih kewarganegaraan dalam jangka waktu tertentu.

"Memang ini perkara lama, tapi tidak ada penyelesaian muktamad. Bila kita bandingkan maklumat data terkini kedua-dua negara, tidak ada sebab tidak boleh selesaikan," katanya.

Jalani latihan

Najib berkata Thaksin juga telah melahirkan rasa puas hatinya mengenai kerjasama kedua-dua negara, khususnya yang menyentuh perkembangan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah memaklumkan kepada Thaksin kesediaan Malaysia untuk memberi peluang kepada para belia di selatan Thailand untuk menjalani latihan di Pusat Giat Mara.

Katanya calon-calon yang sesuai akan ditemuduga daripada kumpulan sasar.

Pada pertemuan itu, Thaksin juga memaklumkan perkembangan politik Thailand dan pilihan raya yang akan diadakan sekali lagi pada bulan Oktober ini, kata Najib.

"Perdana Menteri Thaksin juga memaklumkan hubungan baik beliau dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan beliau mahu meneruskan hubungan baik itu," katanya.

Sumber dana pemisah

Chidchai sebelum ini memberitahu media Thai bahawa Thailand juga membangkitkan isu dari mana pejuang pemisah mendapatkan sumber dananya.

"Kami meminta Malaysia membantu kita menyiasat dari mana datangnya wang mereka," katanya.

Chidchai, yang ditugaskan menangani masalah di selatan, berkata antara empat dan lima pemimpin pejuang pemisah dipercayai sedang bersembunyi di Timur Tengah tetapi beliau tidak menamakan negara terbabit.

Katanya, Thailand juga telah meminta Malaysia menyiasat sama ada terdapat pemimpin pejuang pemisah yang bersembunyi di Malaysia.

Ditanya sama ada isu 130 orang rakyat Islam Thai yang kini ditahan di Terengganu dibincangkan dalam pertemuan itu, Chidchai berkata ia tidak dibangkitkan.

Ogos tahun lalu, 131 rakyat Islam Thai dari Narathiwat mencari perlindungan di Kelantan kerana mendakwa mereka khuatir nyawa mereka terancam di wilayah selatan Thailand yang sedang bergolak itu.

Isu pelarian itu menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu tegang kerana Thailand mengesyaki beberapa orang daripada pelarian itu adalah pemberontak yang bertanggungjawab terhadap keganasan di selatan.

Pada Disember tahun lalu, Malaysia menyerahkan seorang daripada pelarian itu yang dipercayai anggota militan kepada pihak berkuasa Thai.