Satu lagi kluster baru Covid-19 dikesan di Kedah
Satu lagi kluster baru dikenali sebagai Kluster Sala dikesan di daerah Yan, Kedah melibatkan seorang lelaki warganegara sebagai kes pertama kluster tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berkenaan (kes ke-9148) dikesan positif pada 13 Ogos lalu melalui sistem pengawasan klinikal severe acute respiratory infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan pada 14 Ogos dan kes dikesan positif pada 15 Ogos.
"Ketiga-tiga kes dilaporkan hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148),” katanya dalam kenyataan akhbar perkembangan Covid-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 79 kontak rapat kes pertama kluster tersebut disaring dan daripada jumlah itu tiga kes dikesan positif dan 76 individu masih menunggu keputusan.
Beliau berkata kesemua kes bagi kluster itu melibatkan warganegara Malaysia dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya.
- Bernama

