Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Sg Buloh nak rujuk Syed Badli Shah ke lembaga disiplin
Diterbitkan:  Aug 15, 2020 7:29 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

PKR Sungai Buloh hari ini membidas Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, ekoran tindakannya mempersoal peranan Anggota Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dalam isu premis judi tanpa lesen di kawasan itu yang mencetuskan kontroversi.

Setiausaha PKR Sungai Buloh Johari Itam hari ini tampil mempertahan Sivarasa yang didakwanya bertindak wajar dalam isu berkenaan khususnya bagi membantu peniaga yang terjejas.

"Pada petang 11 Ogos, iaitu pada hari yang sama, Sivarasa berhubung dengan Datuk Bandar Shah Alam Haris Kasim dan memohon pertimbangan berkaitan notis 24 jam kepada peniaga premis.

“Pada 12 Ogos, ahli Parlimen Sungai Buloh itu sendiri menghantar pegawainya memantau dan mendapatkan maklumat tentang operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“Keesokan harinya, Sivarasa menerima maklum balas daripada Haris bahawa MBSA akan mengadakan pertemuan khas bagi membantu penjaja yang terjejas pada hari Sabtu di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh," katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today hari ini.

Johari berkata, kenyataan dibuat Syed Badli bersifat dangkal apabila membuat tuduhan liar, berniat jahat dan tidak berasas terhadap ahli parlimen itu.

Semalam, Syed Badli dalam satu kenyataan mempersoal ke mana hilangnya Sivarasa ketika negara digemparkan dengan kisah lambakan kedai judi tanpa lesen dan peniaga kecil di kawasan terbabit.

Syed Badli berkata pendedahan oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara.

Katanya, tindakan drastik MBSA bagi membersihkan kawasan berkenaan daripada lambakan kedai tidak berlesen sedikit sebanyak menggusarkan peniaga dan penjaja kecil.

Dalam pada itu Johari berkata, pemimpin Pemuda PKR di peringkat kebangsaan itu perlu merujuk Sivarasa atau kakitangan di Pejabat Parlimen Sungai Buloh sebelum membuat dakwaan sedemikian.

Lantaran itu, Johari memberitahu bahawa PKR Sungai Buloh akan merujukkan Syed Badli kepada Lembaga Disiplin PKR untuk tindakan lanjut, selain menggesa beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sivarasa.

“Kenyataan dikeluarkan menunjukkan sikap bodoh sombong beliau dan cara kepimpinan yang tidak ada kualiti.

“Saya seru presiden PKR dan pimpinan parti mengkaji semula jawatan beliau sebagai naib ketua Pemuda PKR Pusat yang dilantik. Pemimpin seperti ini akan menjadi liabiliti kepada parti,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS