PKPDB: Sesi pembelajaran diterusan secara dalam talian - Muslimin
KORONAVIRUS | Proses pembelajaran pelajar di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) tidak terjejas kerana guru di sekolah terlibat diarah meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.
Timbalan Menteri Pendidikan l Muslimin Yahaya berkata guru juga diarah supaya mengedarkan bahan pengajaran bercetak melalui beberapa kaedah seperti hantar ke rumah dan melalui persatuan ibu bapa dan guru.
"Ini bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan berikutan mereka tidak mempunyai akses internet semasa sekolah ditutup akibat PKPDB," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti di Sungai Besar hari ini.
Pada majlis berkenaan Muslimin turut menyambut ketibaan konvoi Info On Wheels anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang akan menjelajah beberapa daerah di sekitar Selangor. Antaranya Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Gombak.
Konvoi dua hari itu bermula hari ini dan disertai 67 orang yang menaiki 20 buah kenderaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembelajaran pelajar di sekolah yang ditutup akibat PKPDB di Kedah dan Perlis.
Pada 3 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPDB di Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap susulan penularan kes Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.
Pada 10 Ogos pula Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis dikenakan perintah yang sama sehingga 31 Ogos.
- Bernama

