Pemuda PAS akan buat laporan polis terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan
Semua Dewan Pemuda PAS negeri telah diarahkan supaya membuat laporan polis terhadap kenyataan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed berhubung pemakaian serban yang dianggap telah menghina ajaran Islam dan Rasullullah.
Semua Dewan Pemuda PAS negeri telah diarahkan supaya membuat laporan polis terhadap kenyataan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed berhubung pemakaian serban yang dianggap telah menghina ajaran Islam dan Rasullullah.
"Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) juga tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara ini ke Majlis Raja-Raja agar tindakan yang sewajarnya diambil berhubung isu ini," kata ketuanya, Salahuddin Ayob dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hamid dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam penghakiman bertulis ketika menolak rayuan tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Serting di Negri Sembilan yang dibuang sekolah sembilan tahun lalu kerana enggan menanggalkan serban mereka.
Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peraturan sekolah melarang pelajar Islam memakai serban tidak melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan agama.
Salahuddin berkata, DPP kesal dengan kenyataan Abdul Hamid dalam penghakiman bertulisnya, yang menyatakan bahawa daripada pandangan Islam, amalan memakai serban bukan satu perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.
Antara lain, Abdul Hamid menyebut: "Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasullulah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian."
Tambah Abdul Hamid lagi, serban bukan hanya dipakai oleh orang Arab, orang lain yang tinggal di padang pasir seperti kaum Afghan dan Parsi juga memakai serban.
Mufti pakai serban
DPP juga memetik laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memeti Abdul Hamid sebagai berkata:"Apa yang turut menarik ialah sehingga sekarang ini pun tidak ramai daripada mufti kita dan hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban"
Sehubungan Salahuddin berkata, Pemuda PAS berpendirian apa yang yang dinyatakan oleh hakim berkenaan boleh ditafsirkan sebagai menghina dan memperlekah ajaran Islam khususnya Sunnah Rasulullah.
"Meskipun DPP menyanjungi prinsip kebebasan kehakiman namun DPP juga tidak boleh menerima bahawa seorang hakim adakah kebal dan boleh menyatakan apa sahaja yang beliau suka khususnya dalam perkara yang menyentuh ajaran Islam.
"Meskipun DPP menghormati keputusan mahkamah tersebut, namun hakim sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil kira hati dan perasaan umat Islam yang membaca penghakiman tersebut, apatah lagi kes ini adalah kes yang mendapat perhatian ramai," tambahnya.
Salahuddin berkata, adalah satu yang malang hakim tersebut bercakap "seolah-olah beliau sebagai seorang yang kononnya pakar dalam agama Islam tanpa mengambil kira bahawa di dalam kes tersebut, terdapat pakar agama yang telah memberikan keterangan berhubung kemuliaan pemakaian serban menurut ajaran Islam."
Sehubungan itu, katanya, DPP meminta para Mufti supaya meneliti sepenuhnya kenyataan hakim tersebut "dan jika terbukti ianya menghina ajaran Islam, tindakan sewajarnya perlu diambil ke atas hakim tersebut demi menjadi kesucian ajaran Islam."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.