Covid-19: 12 kes baru, 7 dari kluster Tawar
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 12 lagi kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah hari tadi, membabitkan 10 penularan dalam negara dan dua kes import.
Sehubungan itu, kata Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 211 kes dan jumlah keseluruhan sebanyak 9,212 kes.
Daripada 10 kes penularan dalam negara, tujuh adalah daripada kluster Tawar - iaitu empat di Kedah manakala tiga di Pulau Pinang - dua lagi kes adalah daripada kluster Sala Muda, juga di Kedah.
“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster Tawar sebanyak 46 kes. Kesemua kes baru ini adalah generasi ketiga,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa satu lagi kes penularan tempatan membabitkan kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Mengenai dua kes import itu pula, dia berkata kes itu adalah dari Syria dan Filipina dengan kedua-duanya dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Terdapat lapan kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.


