Hishammuddin jelaskan saman trafik semalam
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata beliau telah menjelaskan semalam, saman trafik kereta yang dikeluarkan atas namanya.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata beliau telah menjelaskan semalam, saman trafik kereta yang dikeluarkan atas namanya.
"Saya tidak boleh melebihi undang-undang, jadi saya telah menjelaskan semua saman di atas nama saya itu.
"Saya selama ini menggunakan kereta rasmi dalam urusan harian, jadi saya tidak sedar dengan saman tersebut," katanya selepas perasmian kempen membaca amjura bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan , Kesenian dan Warisan di ibu negara hari ini.
Hishamuddin yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia berkata, mereka yang mendapat saman lalulintas perlu menjelaskan saman masing-masing walaupun berstatus menteri.
"Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tidak ada sesiapapun yang boleh mengatasi undang-undang," katanya lagi.
Sebelum ini malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dikenakan saman trafik, telah menjelaskan saman masing-masing.
Salahguna bahasa kebangsaan
Beberapa menteri lain termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Aziz; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, juga telah dikenakan saman atas kesalahan lalulintas.
Sementara itu, Hishamuddin dalam ucapannya berkata, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kebudayaan Kesenian dan Warisan sedang menyiapkan dua draf iaitu mengenai buku dan salahguna bahasa kebangsaan.
Katannya, apabila siap, draf cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan sebelum keputusan dibuat.
"Apakah industri buku berada pada landasan yang betul. Adakah tanggungjawab penerbit buku setakat membekalkan buku ke sekolah? Ini yang kita hendak kaji.
"Penyalahgunaan bahasa kebangsaan semakin menjadi-jadi dan ini menjurus kepada elemen penjenayahan," katanya lagi.
Bagaimanapun, Hishamuddin tidak menjelaskan adakah draf tersebut turut mengandungi cadangan untuk mengenakan denda atau penalti kepada mereka yang menyalahgunakan bahasa kebangsaan.

