Najib kritik petisyen tuntut kurangkan denda tak pakai pelitup muka
Najib Razak membidas DAP ekoran sokongan parti itu ke atas petisyen agar kerajaan menurunkan denda tidak memakai pelitup muka dari RM1,000 kepada RM250.
Kata bekas perdana menteri itu, menurunkan kompaun kepada RM250 akan menghantar isyarat yang salah kepada rakyat, dan menyifatkannya sebagai politik tidak bijak serta “menjahanamkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara”.
“Sedangkan negara-negara lain juga mengenakan denda maksimum yang amat tinggi untuk mereka yang ingkar perintah ini,” katanya di Facebook.
Menurut contoh yang diberikan Najib, Sepanyol mengenakan denda maksimum €1,000 dan United Kingdom yang mengenakan denda maksimum £3,2000 buat mereka yang sering ingkar arahan pemakaian pelitup muka.
Tambahnya, kompaun RM1,000 itu boleh diturunkan oleh mahkamah mengikut kebijaksanaan hakim jika mereka yang didenda didapati benar-benar terbeban.
“Ini krisis Covid. Tugas utama ialah menjaga kesihatan rakyat, melindungi ekonomi yang telah terjejas akibat Covid-19 dan menghentikan penularan wabak.
“Jangan main politik populis sehingga rakyat fikir arahan kerajaan untuk lawan Covid-19 adalah hal remeh,” kata Najib.
Najib turut mengepil hantaran Facebook DAP yang menyatakan kesemua 42 ahli parlimen DAP menyokong petisyen bagi menurunkan kompaun bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka itu, dan menggesa ia dikuatkuasakan secara sama rata bukan hanya ke atas rakyat, tetapi juga ke atas menteri.
Sokongan itu dinyatakan beberapa hari lalu oleh DAP melalui kenyataan setiausaha agungnya Lim Guan Eng yang membandingkan denda RM250 yang dikenakan ke atas Menteri Luar Negeri Hishamudin Tun Hussein Onn yang ditangkap menghisap vape dalam persidangan Dewan Rakyat.
Lim turut mendakwa denda RM1,000 adalah bersamaan dengan 83 peratus gaji daripada gaji minimum di Malaysia, dan membandingkan denda kesalahan sama di Australia iaitu A$200, iaitu hanya 6.7 peratus berbanding gaji minimum di sana, kira-kira A$3015 sebulan.
Bermula 1 Ogos, rakyat diwajibkan memakai pelitup muka khususnya di dalam pengangkutan awam dan di tempat sesak, atau berdepan denda maksimum RM1,000.
Najib turut menempelak PH yang katanya tidak membantah dasar mengenakan denda RM1,000 untuk mereka yang merokok di tempat makan, sedangkan katanya impak orang merokok tidaklah sebesar jangkitan Covid-19 akibat tidak memakai pelitup muka.
“Jika masalahnya ialah harga mask terlalu tinggi, kerajaan PN telah turunkan harga siling mask dua kali ke RM1 sekeping.
“Jika masih fikir harga RM1 sekeping terlalu tinggi, suruh Guan Eng serahkan baki daripada RM3.9 juta yang dikutip untuk bayar ikat jamin RM1 juta bagi kes rasuahnya kepada DAP untuk beli dan edarkan 2.9 juta keping face mask (pelitup muka) kepada rakyat,” tambah Najib.

