Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat tuduhan liwat terhadap ahli politik terkemuka

Polis sedang menyiasat akuan berkanun (SD) yang muncul pada hujung minggu lalu yang menuduh seorang pemimpin politik pembangkang terkemuka melakukan liwat.

Individu yang membuat SD itu juga dikatakan membuat laporan polis pada hari Ahad mendakwa dimanipulasi setelah dokumen itu disiarkan di blog Malaysia Today. Bagaimanapun ia tidak dapat disahkan.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami telah menerima laporan dan siasatan sedang dilakukan. Penyiasatan kami akan merangkumi setiap aspek," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut SD itu, lelaki itu mendakwa dia melakukan hubungan seks dengan ahli politik berkenaan sebanyak empat kali pada 2013 di hotel yang berlainan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Dia juga mendakwa bahawa setiap kali selepas melakukan hubungan seks dengan ahli politik berkenaan, dia akan diberi wang tunai RM300.

Dia turut mendakwa bahawa atas permintaan ahli politik itu, dia juga memperkenalkan seorang kawannya kepada ahli politik berkenaan.

Dia mendakwa kawannya itu turut diliwat oleh ahli politik berkenaan dan diberikan wang dalam jumlah yang sama.

SD itu bertarikh 29 Jun 2020.

Malaysiakini sudah menghubungi Pesuruhjaya Sumpah yang bertanggungjawab terhadap SD, yang mengesahkan bahawa SD berkenaan telah difailkan dan ditandatangani di hadapannya.

"Ya, SD dibuat oleh orang yang menandatangani dokumen itu," katanya dalam pesanan teks.

Malaysiakini juga menghubungi pengadu. Dia mengesahkan bahawa laporan polis dibuat tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

"Saya sangat tertekan. Kes ini dalam siasatan polis. Biarkan PDRM (polis) menjalankan tugas mereka," katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi ahli politik itu untuk memberi komen mengenai tuduhan tersebut.

ADS