Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KP: KKM siasat dakwaan Khairuddin ingkar kuarantin

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang menyiasat dakwaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ingkar perintah kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Beliau memberitahu Malaysiakini menteri itu melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Turki bulan lalu.

"Kami sedang menyiasat.

"Ia tempoh kuarantin di rumah pada ketika itu.

"Jika (beliau) diuji positif, beliau akan dimasukkan ke hospital dan jika diuji negatif, (beliau perlu melalui) kuarantin di rumah mandatori selama 14 hari," kata beliau ketika dihubungi.

Semalam, MP Seputeh Teresa Kok memberitahu Dewan Rakyat, Khairuddin baru pulang dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di sana selama empat hari.

Beliau berada di parlimen enam hari kemudian pada 13 Julai, sebelum tempoh kuarantin di rumah berakhir.

Khairuddin masih belum memberi maklum balas terhadap berbagai permintaan untuk mendapat penjelasan beliau.

Hari ini, sumber yang dilaporkan dekat dengan Khairuddin kepada beberapa surat khabar bahawa beliau telah menjalani "ujian Covid-19 khas" selepas kembali dan didapati negatif terhadap virus tersebut. Sumber itu juga mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bersetuju dengan perjalanan ke Turki itu kerana ia adalah "zon hijau".

Antara 3 dan 7 Julai, ketika tarikh perjalanan Khairuddin, Turki mencatatkan lebih daripada 5,600 kes baru dan 93 kematian. Turki telah merekodkan lebih 250,000 kes Covid-19 dan sejumlah 6,061 kematian akibat wabak tersebut.

Langgar kuarantin dihukum penjara, denda

Beberapa MP telah menuntut penjelasan daripada menteri kabinet itu dan menggesa tindakan diambil terhadapnya.

Terdahulu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memberitahu Malaysiakini menteri perlu menjawab kenapa laporan polis tidak patut dibuat terhadapnya.

"Kami beri menteri itu sampai hari ini untuk memberi penjelaskan mengapa kita tidak harus lapor polis terhadapnya kerana melanggar SOP yang ditetapkan," kata pemimpin DAP itu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula menggesa supaya kerajaan tidak bersikap berat sebelah dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap menteri berkenaan seperti mana dilakukan terhadap rakyat Malaysia yang lain.

Ahli parlimen Kota Raja turut sama menggesa Khairuddin tampil memberi penjelasan sewajarnya.

"Beliau (Khairuddin) sendiri perlu beri penjelasan mengapa tak perlu kuarantin selama 14 hari itu?

"Kita minta pihak kerajaan siasat jika betul dia tak ikut peraturan biasa, kerajaan boleh ambil tindakan," kata bekas menteri pertahanan kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, seorang wanita warga emas dipenjara satu hari dan didenda RM8,000 setelah mengaku bersalah melanggar kuarantin di rumah apabila keluar menjamu selera.

Seorang pemilik restoran yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga pula dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana melanggar syarat kuarantin di rumah.

[Baca berita asal]


Laporan tambahan oleh N Faizal Ghazali

Lihat Komen
ADS