Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Akar umbi PAS tiada masalah Bersatu masuk Muafakat Nasional'

Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak ada masalah untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) dan malah akar umbinya juga menerima parti tersebut.

"Akar umbi PAS menerima (penyertaan Bersatu). Tiada masalah," kata setiausaha agung PAS itu kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam bahawa akar umbi Umno kurang senang dengan langkah Bersatu untuk menyertai MN - gabungan yang asalnya antara Umno dengan PAS.

Mohamad dilaporkan berkata, walaupun presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata penyertaan Bersatu bergantung kepada jawatankuasa MN, ia tetap perlu dirujuk ke Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang menurutnya mewakili akar umbi parti.

“Bagi Umno, kita perlu mendapat mandat daripada MT. MT adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Tidak ada bezanya ketika kami memutuskan untuk membentuk MN dengan PAS. Keputusan akhir dibuat oleh Majlis Tertinggi,” katanya dipetik Free Malaysia Today.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula hari ini menyenaraikan apa yang menurutnya sebagai kemarahan ahli parti itu terhadap Bersatu.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata Zahid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah menjemput Muhyiddin Yassin secara rasmi.

“Presiden Umno (Zahid) dan presiden PAS (Abdul Hadi) sama-sama buat surat jemputan kepada presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin). (Jadi) Nak kata ahli akar umbi tak setuju tak bolehlah.

“Saya sendiri dapat mengesahkan presiden Umno bersama presiden PAS tandatangan satu surat jemput Bersatu masuk secara rasmi ke dalam MN," katanya yang juga menteri di jabatan perdana menteri.

MN adalah pakatan antara Umno dan PAS, dua parti Melayu terbesar yang ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lalu.

PAS dan BN bersama-sama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), yang menjadi kerajaan persekutuan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

PAS sertai PN

Sementara itu, Takiyuddin turut mengesahkan PAS telah menyertai Perikatan Nasional (PN) dan menjadi antara parti penaja untuk gabungan itu.

Bagaimanapun,dia berkata tidak pasti sama ada BN yang diterajui Umno turut serta sebagai jawatankuasa penaja atau pun tidak.

“PAS ada, Bersatu ada (sertai PN). BN kena tanya BN, saya tidak pasti.

“(Tetapi) jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, lepas ditubuhkan (PN) ahli lain boleh masuk,” katanya.

Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Asari baru-baru ini memaklumkan pendaftaran PN sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada awal Ogos dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS