Prestasi pencapaian output syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) bagi tempoh 2016 hingga 2019 menunjukkan trend penurunan setiap tahun terutamanya Indeks Prestasi Utama (KPI) kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 mendapati TPM tidak dapat mencapai tahap KPI minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2018 dan 2019 susulan daripada penurunan hasil pendapatan bagi setiap aktiviti utama TPM.

“Trend KPI yang menurun disebabkan cabaran TPM untuk mengimbangi aktiviti penjanaan pendapatan dan pembangunan teknousahawan.

“Dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar, TPM berusaha untuk membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah program TPM walaupun terpaksa memberi keistimewaan harga perkhidmatan berbanding harga pasaran,” dedah laporan itu.

Menurut laporan itu, secara keseluruhannya kedudukan kewangan TPM masih berada pada tahap stabil.

Laporan itu menyatakan walaupun TPM mengalami kerugian selepas cukai pada tahun 2018, keuntungan terkumpul syarikat masih positif.

“Jumlah aset syarikat pula melebihi jumlah liabiliti bagi tiga tahun berturut-turut. Baki tunai dan kesetaraan tunai pada tahun 2018 adalah positif dan mengalami peningkatan berbanding tahun sebelumnya,” kata laporan itu.

Analisis Audit mendapati tahap kecairan TPM mencatatkan kadar melebihi 2.0 iaitu antara 2.67 hingga 4.56 sekali gus menunjukkan syarikat masih mampu untuk menampung obligasi jangka pendeknya.

Secara keseluruhannya, jumlah aset TPM melebihi liabiliti sejumlah RM103.47 juta (18.8 peratus) bagi tempoh tahun 2016 hingga 2018.

Dalam pada itu, laporan tersebut mendedahkan kedudukan nisbah hutang atas aset TPM tidak memuaskan iaitu antara 78.4 peratus hingga 84.2 peratus.

Trend peningkatan itu menunjukkan TPM terlalu bergantung pada liabiliti terutama geran yang diterima daripada kerajaan yang dicatatkan dalam penyata kewangan syarikat bagi tujuan pembangunan projek.

Selain itu, semakan Audit mendapati TPM tidak menetapkan sasaran pelan strategik perniagaan jangka panjang, tetapi ada menyediakan pelan strategik perniagaan bagi semua aktiviti termasuk syarikat subsidiari dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah secara tahunan.

Penyediaan pelan strategik perniagaan jangka panjang bagi TPM termasuk syarikat subsidiarinya tidak pernah dibincangkan oleh Lembaga Pengarah bagi tempoh yang diaudit.

“Pelan strategik perniagaan jangka panjang yang tidak disediakan telah memberi kesan kepada prestasi syarikat subsidiari yang tidak berdaya saing,” dedah laporan itu.

- Bernama