Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kuarantin: Tidak ada sesiapa terkecuali, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 5:27 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Perdana Menteri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung isu kuarantin.

Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Khairuddin setelah dia pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.

"Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kelmarin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun maksimum sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak meredakan kemarahan orang ramai kerana dianggap mengelirukan jika dilihat kepada garis masa kenyataan awal dibuat KKM, penjelasan dibuat Khairuddin serta tarikh dia dikenakan kompaun.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan hadir ke parlimen enam hari kemudian iaitu pada 13 Julai.

Setakat ini tidak ada kenyataan jelas mengenai lawatan berkenaan, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi.

Terdahulu di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dalam soal pematuhan SOP Covid-19, terutamanya apabila melibatkan nyawa manusia.

Jelas beliau, malah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani kuarantin 14 hari.

"Begitu juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengkuarantin kendiri di rumah sebelum ini," katanya lagi.

Sementara itu peguam Syahredzan Johan berkata ada banyak lagi persoalan yang belum terjawab walaupun Muhyiddin mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Antara persoalan dibangkitkan Syahredzan, adakah Muhyiddin tahu Khairuddin berlepas ke luar negara dan tujuan ia dibuat, sama ada untuk tujuan rasmi atau sekadar beriadah.

"Adakah perdana menteri tahu menteri terbabit tak kuarantin?

"KKM kata kompaun dikenakan pada 7 Ogos. Adakah perdana menteri tahu kompaun telah dikenakan?

"Kenyataan sepanjang tiga perenggan (Muhyiddin) tak menjawab," katanya.

Lihat Komen
ADS