Covid-19: 7 kes baru, tiada dari kluster Tawar
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tujuh lagi kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah hari tadi, dengan lima daripadanya adalah penularan dalam negara dan dua kes import.
Sehubungan itu, kata Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 184 kes dan jumlah keseluruhan sebanyak 9,274 kes.
Menurutnya, semua kes tempatan dilaporkan di Sarawak, sementara tiada kluster dan kes kematian baru dilaporkan.
"Daripada lima kes penularan di dalam negara, dua kes adalah warganegara dan tiga kes bukan warganegara.
"Dua kes import membabitkan satu kes masing-masing dari Filipina dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata tiada kematian akibat Covid-19 dicatatkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Terdapat enam kes pulih Covid-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya adalah 8,965 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.
Dia turut menjelaskan tiada kes baru dilaporkan bagi kluster Tawar hari ini. Kluster itu yang kebanyakannya tertumpu di mukim Tawar, Kedah, menjadi kluster terbesar ketika ini.
Kes pertama kluster itu adalah lelaki seorang warga tempatan yang juga peniaga. Lelaki itu dikatakan mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan.
Setakat ini, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster itu yang merangkumi tiga negeri iaitu 2,907 individu disaring di Kedah membabitkan 54 kes positif, 2,393 individu negatif dan 460 individu masih menunggu keputusan, katanya.
“Di Pulau Pinang pula, seramai 518 individu disaring dengan 11 kes adalah positif, 506 individu negatif dan satu individu masih menunggu keputusan sementara di Perak kekal melibatkan 11 saringan dengan kesemuanya negatif,” katanya.

[Laporan penuh menyusul]

