Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) perlu menyiasat keadaan dan suasana kehidupan di rumah panjang terutama permasalahan kemudahan asas dan sosial yang timbul di kawasan itu, kata Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas).

"Kami meminta keprihatinan Suhakam menangani permasalahan yang mendesak dan belum ada penyelesaiannya dalam tempoh hampir 20 tahun ini," kata presidennya Tan Jo Hann selepas penyerahan memorandum mengenai permasalahan rumah panjang kepada badan hak asasi itu, hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh pesuruhjaya Datuk Prof Hamdan Adnan.

Dalam memorandum 13 mukasurat, Permas mendesak badan itu menyiasat keadaan kehidupan di rumah panjang dan memastikan kos sebenar untuk pembinaan sebuah rumah kos rendah serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan.

Persatuan juga mahu badan hak asasi itu memastikan pengagihan rumah kos rendah yang dibuat kerajaan dibuat secara adil dan telus.

"Keadaan hidup kami sudah berada dalam keadaan teruk sekarang. Bukan sahaja keadaan rumah yang uzur malah kemudahan asas seperti bekalan air juga sudah kami tidak terima sejak beberapa bulan lepas," kata Jamaluddin Kasim yang mewakili penduduk Rumah Panjang Pandan Indah 3.

Tiada bekalan air

Menurut beliau, penduduk rumah panjang itu mulai menghadapi masalah bekalan air sejak Februari 1999 apabila bekalan air mereka dihentikan oleh Jabatan Bekalan Air selepas pemaju perumahan itu gagal menjelaskan bayaran sepatutnya.

"Kami kemudian bergantung kepada air yang dihantar oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya tetapi sejak dua bulan lalu, air tidak lagi dihantar dengan alasan mereka tidak mempunyai sumber bekalan air lagi," katanya.

Menurut beliau, penduduk rumah panjang itu kini terpaksa mengambil air di kedai-kedai berhampiran dan kadangkala mengunakan air hujan.

Rumah Panjang Pandan Indah 3 mula didiami sejak 1993 dan penduduknya adalah bekas penghuni kampung Kerayong dan kampung Taman Bakti di Hulu Langat, Selangor, yang dibangunkan untuk membinaan projek Sistem Tansit Aliran Ringan (STAR).

Sementara itu, seorang wakil rumah panjang Balakong, Selangor, Ramli Mat Isa berkata penduduk di perumahan itu "sering menerima layanan buruk" daripada pihak berkuasa apabila cuba mengemukakan masalah mereka.

"Kami pernah menerima ugutan bahawa rumah kami akan dirobohkan. Kami juga sering dijanjikan oleh ahli politik kawasan kami bahawa masalah akan selesai tetapi sampai sekarang tiada apa yang berlaku. Kami berpegang pada janji yang dibuat dahulu iaitu kami ditawarkan rumah kos rendah yang berharga RM25,000," katanya.

"Kami (penduduk Rumah Panjang Balakong) kebanyakannya bekas anggota tentera dan apabila kami diperlakukan begini, ia benar-benar membuat kami rasa hampa dan seolah-olah jasa kami sebagai anggota tentera dulu tidak dihargai," tambahnya.

Rumah panjang Balakong didiami oleh kira-kira 640 orang yang dipindahkan dari tanah rizab landasan Keretapi Tanah Melayu bagi pembinaan landasan berkembar komuter Klang-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Seremban.

Agensi pemantauan

Sementara itu menurut Hamdan, satu agensi pemantauan perlu diwujudkan bagi menangani masalah pengagihan rumah kos rendah di negara ini.

Beliau yang juga presiden Gabungan Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan agar mereka yang layak dan benar-benar memerlukan rumah itu saja memperolehinya.

"Pendaftaran dan senarai pembeli rumah kos rendah perlu disediakan iaitu satu di peringkat negeri dan satu di peringkat kebangsaan," katanya.

Hadir semasa penyerahan memorandum itu ialah kira-kira 20 orang wakil Permas dan penduduk daripada 20 rumah panjang sekitar Kuala Lumpur yang diwakili oleh Gerakan Rumah Panjang (GRP).

Antara rumah panjang yang bergabung di bawah GRP ialah Rumah Panjang Pandan Indah, Rumah Panjang Rawang, Rumah Panjang Sri Segambut, Rumah Panjang Jinjang, Rumah Panjang Kg Medan, Rumah Panjang Setapak.