mk-logo
Berita
Mampukah Syed Saddiq bawa orang muda ganti orang lama?

Rancangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baru berasaskan golongan anak muda pelbagai kaum mencuri tumpuan dan  mengundang perbahasan.

Bukan sahaja membawa dirinya keluar daripada bayangan Dr Mahathir Mohamad, penganalisis berpendapat, langkahnya itu berpotensi mengemudi politik Malaysia keluar daripada lingkungan pemain politik yang biasa.

Beberapa minggu kebelakangan ini, bekas menteri belia dan sukan itu berulang kali menyeru pengikut Twitternya seramai sejuta orang itu untuk menukar muka-muka lama dan memberi ruang untuk golongan muda mengambil alih pentas politik.

Meskipun ia berjaya menerima perhatian ramai, pemerhati berasakan dia juga perlu bersaing dengan sayap-sayap pemuda-pemudi daripada parti politik yang lebih mapan dan mempunyai sumber lebih mantap.

Syed Saddiq juga mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengumpul sokongan, jika pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan.

Bebas dari politik berasaskan kaum

Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis politik Muhamad Nadzri Noor optimis bahawa langkah baru itu akan dapat meletakkan titik penamat kepada budaya politik “elitisme dan hierarki”.

Ahli akademik UKM itu melihat Syed Saddiq, dengan pengalaman menjadi menteri serta populariti di media sosial, dan kini baru berusia 28 tahun, berada di kedudukan yang baik untuk memacu pengundi muda yang dianggarkan seramai 7.8 juta menjelang 2023 nanti.

Segmen baru pengundi muda itu adalah hasil pindaan perlembagaan “Undi18” diperjuangkan Syed Saddiq, yang menurunkan had minimum umur pengundi kepada 18 tahun.

Dengan tidak menyertai parti Pejuang - parti baru Mahathir yang berasaskan Melayu - Nadzri memandang langkah baru Syed Saddiq itu sebagai melepaskan dirinya daripada belenggu parti politik berasaskan kaum.

Sebaliknya, dia dapat beralih ke arah apa yang dimahukan oleh pengundi muda.

"Dengan berbuat sedemikian kita patah balik daripada politik elitisme dan hierarki, bila beliau datang dengan parti baru yang menawarkan politik baru [...]

"Hampir lapan juta (bilangan) pengundi baru dalam PRU akan datang, jadi besar impak sebenarnya.

"Dalam masa yang sama menyediakan platform di mana orang muda boleh mengambil alih politik daripada orang-orang tua.

"Dalam satu segi, saya rasa dia letih dengan politik ini terpusing-pusing di kalangan tiga ke empat orang- Mahathir, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin (dan sebagainya),” katanya,

Bercakap tentang rancangan parti barunya minggu ini, Syed Saddiq berkata dia mahu memastikan politik tidak dikawal dan dimonopoli oleh “orang tua yang sama”, sebaliknya mahu mencipta gerakan teknokrat muda, profesional dan ahli politik muda daripada pelbagai latar belakang.

Tampilkan orang muda saja tak cukup

Qyira Yusri, pengasas bersama gerakan Undi18, berkata, parti berasaskan orang muda yang berpengaruh perlu membuktikan ia mempunyai tarikan lebih daripada sekadar menampilkan anak muda.

Menjadi pilihan buat golongan muda Malaysia sememangnya menjadi kelebihan buat parti itu, tetapi pada pengamatannya, pengundi muda turut cakna tentang polisi dan isu yang memberi kesan kepada mereka.

 

“Saya rasa generasi saya mahu ada wakil rakyat yang boleh menyantuni kami (relatable representatives) dan itu membabitkan ahli politik muda.

“Tapi pada masa yang sama, kami juga tak mahu ahli politik muda yang sekadar popular. Kami mahu mereka berjuang untuk polisi dan paling penting, menambah baik kehidupan kami.

“Bagi saya, saya mahu ahli politik yang dapat faham polisi ekonomi dan memperjuangkan suara kami di peringkat dasar kebangsaan,” katanya.

Qyira, yang mengepalai kempen libat urus polisi awam dan pendidikan pengundi muda berpendapat, parti baru itu juga perlu melangkaui karisma peribadi Syed Saddiq.

Bagi benar-benar membuat anjakan dalam wacana politik, baginya, perlu untuk pemimpin daripada golongan minoriti dan komuniti tempatan untuk diangkat ke barisan depan.

“Parti lebih daripada sekadar individu semata-mata.

“Parti yang mahu ditubuhkan itu, harap-harapnya, menjadi platform golongan muda dan belia Malaysia yang lain,” tambahnya.

Perlu bina identiti dan sokongan belia

Memberikan pandangan senada, penganalisis politik UIAM Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, mempersoalkan apakah parti baru Syed Saddiq itu akan dapat mendapat perhatian orang muda di kampung, terutamanya orang Melayu, memandangkan imej urban yang dimiliki bekas ketua pemuda Bersatu itu.

Kawasan kampung Melayu dilihat merupakan kubu Umno dan PAS. Kedua-duanya mempunyai sayap pemuda-pemudi yang kuat.

“Sayap-sayap belia ini turut menembusi universiti, dan mereka telah pun membentuk kumpulan-kumpulan dalam kalangan orang muda,” katanya.

Katanya, mana-mana parti pun, terutamanya parti baru, yang mahu menembusi kerusi di kawasan ini, perlu bersaing dengan akar umbi kukuh daripada parti-parti pemerintah tersebut.

Tunku Mohar turut membangkitkan persoalan apakah pengundi baru merupakan satu segmen yang benar-benar berbeza, sehinggakan perlunya satu parti politik khusus untuk memenuhi keperluan mereka.

Katanya, mandat pilihan raya akan terus terbahagi antara kaum dan sempadan kampung-bandar, tetapi bukan umur.

“Setakat ini, saya tak nampak satu identiti politik yang dikenal pasti sebagai “belia”. Ada (identiti) pengundi Melayu, Cina, India, bandar dan kampung.

“Tapi saya belum lagi nampak identiti belia. Bermaksud (identiti) belia yang rentas jantina dan kaum, mempunyai pandangan yang sama dalam isu-isu tertentu. Itu, belum ada lagi.

“Kalau ini boleh digagaskan, mungkin ia boleh menjelma menjadi sokongan untuk satu parti yang berasaskan belia,” ramalnya.

Syed Saddiq masih belum mengumumkan rancangan konkrit tentang langkah seterusnya, tetapi dijangka berbuat demikian di minggu-minggu akan datang.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini