Ahli-ahli Umno dan rakyat Kelantan tidak tunduk pada tekanan demi menegak demokrasi. Itulah mesej Kelab Veteran Umno Kelantan kepada kerajaan dan Umno pusat, demi menegak demokrasi.

Berikutan itu, kelab tersebut bersetuju untuk mengambilalih penganjuran Majlis Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) cawangan Kelantan menarik diri.

Menurut jurucakap kelab tersebut, Dr Mahathir dijadual tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, pada jam 11 pagi Jumaat 28 Julai depan.

"Tiada siapa yang berhak melarang kami menganjurkan majlis bersama bekas Perdana Menteri itu. Ia hanya satu majlis penerangan...apa salahnya rakyat mendengar penerangan pemimpinnya.

"Kalau pada hujung minggu lalu (Menteri Luar) Datuk Seri Hamid Albar datang memberi penerangan kepada Umno Kelantan, apa salahnya Dr Mahathir juga diberi peluang untuk menyatakan pendapatanya," kata veteran Umno yang juga seorang bekas ahli Parlimen itu.

Jurucakap itu menambah, walaupun mendapat bantahan daripada sesetengah pemimpin Umno negeri, namun program tersebut tetap diteruskan kerana ia merupakan majlis penerangan kepada ahli parti dan golongan profesional.

"Malah kami turut menjemput ahli-ahli Badan Perhubungan Umno Kelantan ke majlis ini. Surat jemputan sudah dihantar kepada mereka," kata jurucakap itu lagi.

800 dijangka hadir

Mubarak Kelantan telah diminta oleh Umno Kelantan supay amembatalkan majlis tersebut kerana dianggap tidak sesuai, ekoran tindakan Dr Mahathir mengkritik keras pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pembatalan projek jambatan indah, isu AP dan Proton.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dikatakan telah meminta ahli jawatankuasa Mubarak membatalkan program tersebut setelah menerima panggilan dari pihak atasan Umno di Kuala Lumpur.

Menurut jurucakap itu lagi, Dr Mahathir akan menghadiri program penerangan di Hotel Perdana pada jam 3 petang.

Program tersebut khusus untuk veteran Umno Kelantan dan golongan profesional dari negeri itu. Ia dijangka dihadiri oleh kira-kira 800 orang.

"Pada sebelah malamnya pula, saya difahamkan Dr Mahathir akan menghadiri majlis 'Malam Perjuangan Belum Selesai' di Hotel Grand Riverview yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK)," tambahnya.

Dr Mahathir sedang bercuti di luar negara bersama keluarganya. Beliau dijangka pulang ke tanahair pada 22 Julai ini.