PARLIMEN l Bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang dijadual berlangsung pada sidang Dewan Rakyat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

Usul penangguhan itu dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said selepas sesi pergulungan usul mengenai Akta Cukai Jualan 2018 oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 62, DR 12/2020 seperti yang tertera di nombor lima dalam aturan mesyuarat dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga, dan dibawa ke mesyuarat akan datang,” katanya.

Semalam, RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Ismail.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Suruhanjaya bebas dan mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis serta menggalakkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis.

- Bernama