Para menteri luar Asean akan bertemu untuk membincangkan konflik yang semakin buruk di Timur Tengah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Ini adalah isu keamanan dan keselamatan yang memberi kesan kepada seluruh dunia. Saya harap kita dapat mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan bersama menggesa supaya diadakan genjatan senjata," kata Syed Hamid dalam laporan Bernama.

Menteri luar Asean akan bertemu di Kuala Lumpur pada 24 Julai dan diikuti oleh dialog keselamatan Asean, yang turut dihadiri Amerika Syarikat, Russia dan Kesatuan Eropah.

Rakyat M'sia dipindahkan

Syed Hamid juga berkata, sekumpulan rakyat Malaysia, termasuk empat diplomat, telah dibawa keluar dari Lebanon berikutan serangan berterusan Israel terhadap Hezbollah.

Katanya, empat pegawai dari kedutaan Malaysia di Beirut, bersama empat anggota keluarga mereka serta dua lagi rakyat Malaysia, telah dibawa ke Syria Ahad lalu.

"Mereka kini dalam keadaan selamat di Syria dan kita akan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," tambahnya.

Malaysia adalah pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan Syed Hamid berkata, pertubuhan tersebut akan menghubungi Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Lebanon dan Gaza.

- AFP