Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Kluster kelima di Kedah babitkan kakitangan hospital
Diterbitkan:  Aug 30, 2020 6:56 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Satu lagi kluster baru Covid-19 dikesan di kedah, menjadikan lima kluster direkodkan di negeri berkenaan dalam tempoh lebih sebulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mengenai kluster Telaga di negeri itu.

Kluster berkenaan melibatkan dua kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah yang merupakan hospital utama  bagi merawat kes Covid-19 di Kedah.

"Kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos 2020 (kes ke-9284). Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan. 

"Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif Covid-19," jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

Daripada jumlah itu hanya dua kes dikesan positif, manakala selebihnya negatif.

"Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan," katanya.

Bagaimanapun menurut Noor Hisham, perkhidmatan di Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ia disyaki berpunca dari kalangan komuniti," katanya.

Kluster Telaga merupakan kluster kelima yang masih aktif di Kedah sejak 28 Julai lalu. Kluster Covid-19 yang aktif di Kedah adalah seperti berikut

Kluster Sivagangga (45 kes) - Kes pertama dilaporkan pada 28 Julai

Kluster Tawar (73 kes) - Kes pertama dilaporkan pada 12 Ogos.

Kelompok muda (4 kes) - Kes pertama dilaporkan pada 13 Ogos.

Kluster Sala (11 kes) - Kes pertama dilaporkan pada 14 Ogos.

Kluster Telaga (2 kes) - Kes pertama dilaporkan pada 24 Ogos.

Secara keseluruhan ia merangkumi 135 kes, manakala beberapa kluster juga telah merebak ke negeri jiran termasuk Pulau Pinang dan Perlis.

Kluster MV Glen

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan mengenai kluster baru di Selangor yang dikenali sebagai kluster MV Glen.

Kluster itu dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, melibatkan dua kes positif dengan kes indeks adalah kes ke-9,286 yang merupakan seorang kru kapal.

Katanya, kes indeks kluster itu merupakan kes import yang melibatkan bukan warga tempatan manakala kes kedua merupakan rakyat Malaysia yang juga ejen yang dilantik oleh syarikat perkapalan.

“Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan," jelasnya.

Menurut Noor Hisham, saringan Covid-19 telah dijalankan dan sehingga hari ini, sejumlah lapan orang telah disaring dan enam daripadanya didapati negatif.

"Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih dijalankan. 

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut. 

"Punca jangkitan masih dalam siasatan,"ujarnya.

Lihat Komen
ADS