MP pembangkang gesa wakil PN sokong tubuh j'kuasa pilihan khas wanita, kanak-kanak
Ahli Parlimen DAP Alice Lau dan Kasthuri Patto meminta anggota parlimen dari Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkenaan Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial yang menurut mereka dicadangkan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Kedua-dua anggota parlimen pembangkang itu mengatakan bahawa Azhar membuat cadangan PSC tersebut dalam surat bertarikh 28 Ogos yang ditujukan kepada Jawatankuasa Dewan yang dipengerusikan oleh Speaker sendiri.
Kedua-duanya berkata bahawa surat itu dihantar sebagai maklum balas kepada surat dari Lau pada hari sebelumnya di mana dia meminta supaya Azhar mempermudah penubuhan PSC tersebut.
Ia susulan Lau mendakwa satu cadangan dibuat ketika mesyuarat Jawatankuasa Dewan supaya jawatankuasa pilihan khas berkenaan wanita dan kanak-kanak diletakkan di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (Select Committee of Civil Liberties and Constitutional Rights).
Dalam suratnya, Lau mengatakan kelewatan penubuhan PSC seperti itu adalah “regresif" dan menunjukkan kurangnya komitmen untuk memastikan kepentingan wanita, kanak-kanak dan keluarga termasuk mengenai kesihatan, ekonomi, keselamatan dan infrastruktur terjamin.
Sementara itu, dalam salinan surat yang dikatakan dari Azhar dihantar kepada media, Azhar didakwa menyatakan bahawa pembentukan jawatankuasa pilihan khas tersebut “dekat di hati ahli-ahli yang berhormat wanita.”
Justeru itu, Azhar menggesa supaya ahli jawatankuasa dewan yang lain mempertimbangkan cadangan tersebut.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan dakwaan yang mengatakan surat tersebut daripada Azhar.
Selain daripada Lau, ahli jawatankuasa Dewan itu turut dianggotai oleh Tiong King Sing (Parti Demokratik Progersif - Bintulu), Shahidan Kassim (BN-Arau), Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu-Masjid Tanah), Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) dan Hatta Ramli (Amanah-Lumut).
“Sekarang keputusan terletak di tangan anggota parlimen dari Perikatan Nasional iaitu Bintulu, Arau, Masjid Tanah, dan Kuala Krai dalam meletakkan agenda wanita dan kanak-kanak sebagai agenda dasar dan tidak menentang penubuhan jawatankuasa ini.
"Kami meminta sokongan mereka yang tidak berbelah bagi dalam menubuhkan jawatankuasa ini tanpa menangguhkannya,” menurut kenyataan bersama dari Lau dan Kasturi.
“Mengapa jawatankuasa ini sangat penting untuk ditubuhkan sekarang, dan tidak ditangguhkan selama berbulan-bulan yang akan datang adalah kerana untuk memastikan kebajikan dan hak wanita dan kanak-kanak ditangani, dihormati dan dipertahankan.
“Terutamanya pada masa ini bagi melindungi semak imbang yang baik terhadap dasar dan perbelanjaan kerajaan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara menghadapi wabak Covid-19.
"Semua parlimen yang berfungsi di seluruh dunia mempunyai jawatankuasa untuk meneliti hal-hal gender, wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial,” katanya.
Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua mereka turut menekankan bahawa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah membentuk jawatankuasa pilihan khas mengenai kesaksamaan gender dan pembangunan keluarga ketika pentadbirannya.
Setakat ini, terdapat 11 jawatankuasa pilihan khas parlimen yang berada dalam senarai. Antaranya menumpukan hal berkenaan sains dan inovasi, hubungan dan perdagangan antarabangsa, hak asasi manusia, kesaksamaan gender dan pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam awam.
Bagaimanapun, lapan jawatankuasa pilihan khas parlimen diumumkan pada hari terakhir persidangan Parlimen, di mana kesaksamaan gender dikecualikan.
Semalam, Nurul Izzah Anwar (PKR - Permatang Pauh) dan Nor Azrina Surip (PKR - Merbok) juga meminta Azhar untuk menghidupkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga, yang sebelumnya dipengerusikan oleh Nor Azrina.

