PAS cabar Pemuda Umno sertai demontrasi bantah kezaliman Israel
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyifatkan Pemuda Umno sebagai pengecut kerana tidak berani turun berdemonstrasi di negara sendiri bagi membantah kezaliman Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan Britain.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyifatkan Pemuda Umno sebagai pengecut kerana tidak berani turun berdemonstrasi di negara sendiri bagi membantah kezaliman Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan Britain.
"Pemuda Umno hanya pandai menyuarakan bantahan mereka di luar negara sahaja tetapi tidak bertindak di negara sendiri yang sepatutnya mereka lakukan," kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
"Pemuda Umno hanya memilih suasana dan tempat yang kondusif dan selesa seperti di perkarangan PWTC sahaja untuk melahirkan bantahan mereka. Ini mungkin kerana untuk mendapatkan layanan 'manja' daripada pasukan keselamatan negara ini dan juga menunjukkan bantahan lakonan mereka.
"Sedangkan ribuan rakyat yang cintakan kemanan dan bencikan kezaliman turun berdemonstrasi di depan Kedutaan Amerika Syarikat Britain bagi menunjukkan kepada kedutan negara tersebut sikap sebenar rakyat di dalam negara ini," tegas Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pemuda PAS juga amat kesal kerana Pemuda Umno "hanya pandai memberikan cadangan mereka kepada pemimpin muda Asean untuk membantah kezaliman Israel dengan cara mendapatkan sokongan semata-mata.
Perhebat tekanan
"Tetapi sebenarnya pemimpin muda Asean seperti di Indonesia telah lama turun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dan Britain, sekutu Israel, secara bantahan berdemonstrasi tidak seperti Pemuda Umno sekarang," tambahnya.
Pemuda PAS juga mempersoalkan apakah tindakan Pemuda Umno bertemu dengan pemimpin muda Asean, sebagai langkah berkesan bagi memperhebatkan tekanan kepada Israel.
"Rakyat tertanya-tanya apakah fungsi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) di dalam memainkan peranan memulihkan keadan tegang di Asia Barat.
"Mengapa Pemuda Umno tidak mendesak Perdana Menteri untuk melakukan tindakan berani dan lantang terhadap Israel?" soal Salahuddin.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS mencabar pemuda Umno untuk turun bersama DPP, parti politik, dan badan bukan kerajaan (NGO) lainnya untuk berdemonstrasi pada hari Jumaat ini di depan kedutaan Amerika Syarikat serta menyerahkan nota bantahan bersama kepada Duta Amerika Syarikat di Malaysia.
"Kami akan nantikan cadangan ini bersama atas dasar kemanusiaan," tambah Salahuddin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.