Rafidah sangkal Miti keluar AP gula
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Rafidah Aziz menyangkal dakwaan kononnya kementerian itu bertanggungjawab dalam pengeluaran permit import (AP) dan eksport gula di negara ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Rafidah Aziz menyangkal dakwaan kononnya kementerian itu bertanggungjawab dalam pengeluaran permit import (AP) dan eksport gula di negara ini.
Beliau juga menafikan tuduhan bahawa pengilang gula negara ini memberi lebih tumpuan kepada pasaran eksport.
"Tidak, tidak ada permit. Tidak ada permit eksport. Sekarang ini kilang gula yang empat itu mempunyai lebihan kapasiti mengilang sebanyak 30 peratus. Jika mereka ingin mengimport lebih banyak gula mentah yang mahal dan mengilangnya menjadi gula untuk dieksport, kita tak boleh tahan asalkan pengeluaran domestik sudah diambil kira.
"Rekod kami menunjukkan pengilang mengeluarkan sejumlah tan (gula) yang kita perlukan. Malah, 70 peratus yang dikilang untuk pasaran domestik sudah lebih daripada mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gandhi Memorial di Kuala Kangsar semalam.
Rafidah mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal yang dilaporkan berkata sebarang tindakan terhadap pengilang gula yang enggan mengutamakan bekalan domestik, perlu datang dari Miti kerana kementerian itu yang bertanggungjawab dalam pengeluaran permit import (AP) dan eksport gula.
Menurutnya, masalah kekurangan bekalan gula sekarang bukan disebabkan kementeriannya, sebaliknya berpunca daripada masalah dalam sistem pengedaran, penyeludupan dan juga tindakan sesetengah pemborong dan peruncit yang menyorokkan gula.
Menurut Bernama, Rafidah berkata, perangkaan bulan Januari hingga Mei 2006 menunjukkan pengilang menjual 437,794 tan gula di pasaran domestik berbanding 413,424 tan metrik bagi tempoh sama pada 2005.
Bekalan cukup
"Tahun sudah jualan domestik di peringkat kilang 1.024 juta tan metrik. Sekarang mereka dah jual 437,794 tan. Maknanya dari segi peringkat kilang, tak ada masalah. Mereka dah bekalkan kepada pemborong dan peruncit.
"Masalahnya sekarang jelas ialah ada sesetengah pemborong dan peruncit yang kita tahu menyimpan gula, menunggu-nunggu kononnya kot-kot kerajaan naikkan harga gula," katanya.
Beliau berkata harga gula di negara-negara jiran yang sangat tinggi harganya turut menyebabkan penyeludupan keluar gula terus berlaku.
"Maklumat terkini menunjukkan harga gula kita RM1.40 sekilo, Singapura (RM2.56), Thailand (RM1.76), Indonesia (RM2.40) dan Filipina (RM2.42)," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar menafikan Miti ada mengeluarkan permit import (AP) untuk barangan makanan seperti susu, buah-buahan dan buah-buahan kering dari Israel seperti yang didakwa Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim kelmarin.
"Kita tidak pernah import. Malaysia tak ada mengimport apa-apa dari Israel. Tak usah gaduhlah... kecuali beberapa syarikat multinasional tertentu yang diberi kebenaran khas untuk mengimport beberapa komponen elektronik berteknologi tinggi yang hanya boleh diperoleh dari syarikat negara tersebut," katanya.

