Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
69 peratus terima kepimpinan Muhyiddin - tinjauan
Diterbitkan:  Sep 2, 2020 1:11 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Tinjauan terbaru menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan memberangsangkan.

Menurut tinjauan badan penyelidik Merdeka Centre mendapati kadar penerimaan terhadap kepimpinan presiden Bersatu itu berada pada tahap 69 peratus.

Tinjauan juga mendapati Perikatan Nasional (PN) lebih diterima umum berbanding Muafakat Nasional (MN) atau BN.

Majoriti responden Melayu menyokong Umno dan PAS menyertai PN.

Berkenaan keputusan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd pula, 61 peratus responden bersetuju manakala 18 peratus tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Daripada jumlah itu, Merdeka Centre mendapati 57 peratus responden Melayu bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Tinjauan berkenaan yang dijalankan antara 15 Julai dan 10 Ogos membabitkan 3,415 responden yang dipilih melalui pesampelan rambang di seluruh negara bagi mencerminkan pengundi di Malaysia.

Daripada data Merdeka Center, ia nampaknya menjalankan tinjauan persepsi pengundi setiap bulan, tetapi hanya mengeluarkan siaran awam tentangnya secara berkala.

Tarikh siaran terakhir adalah pada 27 Julai 2019.

Merdeka Center berkata keputusan tinjauan menunjukkan Muhyiddin kini di kedudukan “selesa dan positif” meskipun wujud retorik daripada pembangkang yang menggelarnya “pengkhianat” dan bekerja dengan “kleptokrat” bagi menggulingkan kerajaan - yang dipilih secara demokrasi - pada hujung Feb lalu.

Dapat sokongan pengundi tua

Merdeka Center berkata hanya 33 peratus responden Cina memandang Muhyiddin secara positif, tetapi dia menikmati sokongan memberangsangkan daripada komuniti bumiputera.

Muhyiddin turut mendapat sokongan responden muda, dengan 70 peratus penyokongnya daripada kalangan responden berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Daripada segi pendapatan isi rumah pula, Muhyididn turut dipandang secara positif oleh kumpulan berpendapatan isi rumah RM3,999 ke bawah. Tahap sokongan didapati berkurangan apabila pendapatan isi rumah semakin meningkat.

Muhyiddin turut menerima sokongan daripada 91 peratus penjawat awam atau mereka yang bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketika kali terakhir Merdeka Center mengeluarkan dapatan tinjauannya pada Julai 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mendapat sokongan rata-ratanya daripada pengundi tua.

Dia hanya mendapat 57 peratus sokongan daripada pekerja di jabatan awam dan GLC.

Yakin menegakkan keadilan

Ahli parlimen Langkawi itu turut menikmati lebih banyak sokongan daripada golongan berpendapatan isi rumah RM4,000 ke atas.

Berkenaan gabungan dan parti politik pula, PN nampaknya menjadi entiti politik yang paling popular dalam kalangan responden dan dipandang secara positif oleh 51 peratus pengundi.

Ini diikuti oleh BN (40 peratus), PAS (39 peratus), Muafakat Nasional (37 peratus), Bersatu (28 peratus), dan PH (25 peratus).

Dapatan itu mengejutkan memandangkan MN, PAS, BN, dan Bersatu semuanya merupakan sebahagian daripada kerajaan PN.

Merdeka Center tidak menjelaskan mengenai dapatan bercanggah dalam tinjauan berkenaan. Malaysiakini sudah menghubungi Merdeka Center untuk mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, 74 peratus responden Melayu memandang PN secara positif berbanding Bersatu dengan 43 peratus. Hanya 17 peratus responden Melayu memandang PH secara positif.

Ketika ditanya apakah Umno dan PAS wajar terus kekal di dalam PN, hampir dua pertiga responden Melayu bersetuju.

Buat masa ini, Umno belum menyatakan komitmen untuk menyertai gabungan PN meskipun bersetuju membentuk kerajaan bersama parti komponen gabungan berkenaan .

PN dibentuk pada Mac lalu dengan matlamatnya dikatakan untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan menyingkirkan PH yang diuar-uarkan sebagai “diketuai DAP”.

Ketika disoal apakah mereka yakin kerajaan PN akan komited “menegakkan keadilan” ke atas personaliti yang datang daripada kerajaan BN yang lama, 56 peratus daripada responden Melayu berkata mereka yakin, manakala majoriti responden Cina dan India pula menyatakan tidak yakin.

Hanya 50 peratus responden yang bekerja dalam jabatan awam atau GLC menyatakan mereka tidak yakin.

Bagaimanapun, hampir semua segmen responden setuju dengan keputusan penghakiman mahkamah ke atas Najib, bekas pemimpin BN.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS