Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: PAS hampir pasti guna logo BN dalam PRN Sabah

PAS hampir pasti akan menggunakan lambang BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti selepas kali terakhir berbuat demikian lebih empat dekad lalu, iaitu ketika PRU 1974.

Menurut sumber BN, PAS sudah memaklumkan kepada gabungan itu berhubung hasrat untuk menggunakan lambang dacing BN.

"Hampir pasti PAS akan menggunakan lambang BN dalam PRN Sabah. Ia adalah sejarah baru buat politik negara.

"Pimpinan tertinggi BN sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tiada masalah untuk PAS menggunakan lambang BN.

"Ini atas dasar dan semangat Muafakat Nasional (MN),"katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesediaan untuk parti itu untuk menggunakan 'dacing', lambang yang pernah menjadi seterunya dalam banyak pilihan raya sebelum ini.

Abdul Hadi berkata, PAS tiada masalah untuk menggunakan lambang itu jika rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) turut memutuskan untuk berbuat demikian.

"Jika kita guna lambang BN, ia bukanlah kali pertama PAS menggunakan lambang lain kerana kita pernah berbuat demikian pada 1974, ketika PAS masih berada dalam BN," kata anggota Parlimen Marang itu.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi bagaimanapun berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan belum diputuskan secara muktamad.

"Setakat ini belum buat sebarang keputusan lagi, masih dalam perbincangan," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sumber berkata BN akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam PRN Sabah, Sabtu ini.

"Setakat ini senarai nama calon sudah ada dan hampir hampir pasti untuk dimuktamadkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS