Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB Kelantan mohon maaf gangguan air di 4 kawasan
Diterbitkan:  Sep 2, 2020 5:30 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob hari ini memohon maaf secara terbuka kepada penduduk yang terjejas dengan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di negeri itu.

Menurutnya, kerosakan paip di loji Rawatan Air Merbau Chondong, Machang itu berlaku diluar jangkaan dan mengambil masa untuk dibaiki.

"Saya sebagai ketua kerajaan negeri memohon maaf atas kejadian ini kepada rakyat yang disayangi semua, sebab perkara ini mungkin di luar pengetahuan kita. Apa yang berlaku sangat mendukacitakan.

"(Masalah) kerana paip pengagihan input air yang sepatutnya dapat membekalkan bekalan air ke loji Rawatan Air Merbau Chondong didapati rosak dengan skala yang besar.

"Namun, hari ini kita jangka bekalan air mula kembali pulih, kita harap rakyat dapat bersabar dan semua pihak sedang berusaha. Insya-Allah beberapa jam lagi kita dapat saluran," katanya pada sidang media selepas melawat kerja-kerja baik pulih yang dijalankan di Pulai Chondong, Machang, hari ini.

Penduduk di kawasan Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Timur dan Selatan berdepan masalah bekalan air sejak 27 Ogos lalu. Masalah itu melibatkan 38,018 akaun pengguna.

Bagaimanapun, Air Kelantan Sdn Bhd menjangkakan bekalan air di kawasan tersebut akan pulih sepenuhnya pada 4 September.

Sementara itu Ahmad berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada negeri-negeri yang memberikan bantuan dengan menghantar lori tangki untuk membekalkan air sementara kepada pengguna yang terjejas.

Katanya, bantuan itu diterima daripada Melaka, Perak, Johor, Terengganu dan Selangor.

"Kita sangat berterima kasih kepada negeri-negeri yang menghulurkan bantuan. Hari ini hari kita, mungkin esok hari dia," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS