Aman Malaysia kecam jenayah perang Israel
Aman Malaysia mengecam tindakan Israel melancarkan serangan udara yang berterusan yang mengorbankan ramai rakyat awam Lebanon dan memusnahkan infrastruktur di negara itu, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.
Aman Malaysia mengecam tindakan Israel melancarkan serangan udara yang berterusan yang mengorbankan ramai rakyat awam Lebanon dan memusnahkan infrastruktur di negara itu, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.
Antara rakyat Lebanon yang menjadi mangsa kekejaman Israel itu ialah satu keluarga 10 orang, termasuk lapan kanak-kanak serta keluarga tujuh orang termasuk bayi berusia tujun bulan. Ramai lagi orang awam turut tercedera dalam serangan tersebut.
Israel melancarkan serangan darat dan laut terhadap Lebanon selepas dua anggota tenteranya 'diculik' oleh kumpulan Hezbollah
Sehubungan itu, Penyelaras Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, adalah penting dibezakan antara 'mangsa culik' dengan tahanan perang dalam suasana yang berlaku di Labenon.
Katanya, kedua-dua anggota tentera tersebut serta seorang lagi anggota tentera Israel yang ditahan oleh Hamas, bukan merupakan mangsa culik, tetapi adalah 'tahanan perang' yang terbabit aktif dalam tugas ketenteraan sewaktu episod tersebut berlaku.
Malah, pemimpin politik Hamas dalam buangan, Khalid Meshaal telah mengesahkan bahawa anggota tentera Israel yang ditahan oleh pertubuhannya itu, akan dilayan seperti 'tahanan perang' mengikut Konvensyen Geneva, kata Mukhriz dalam satu kenyataan.
Lindungi orang awam
Namun begitu, katanya, Perdana Menteri Israel Ehud Olmert telah mengisytiharkan 'penculikan' ketiga-tiga anggota tenteranya itu sebagai "satu tindakan peperangan" terhadap Israel.
"Kalaulah inilah kesnya, maka bagaimanakah kita hendak taksirkan tindakan Israel memenjarakan beribu-ribu rakyat Palestin, termasuk beratus-ratus wanita dan kanak-kanak, kerana didakwa bersimpati dengan perjuangan Hamas yang kini dipilih secara demokrasi untuk menubuhkan kerajaan Palestin?" soal Mukhriz.
Beliau juga Pengerusi Biro Antarabangsa dan NGO Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menegaskan bahawa 'Protokol 1 Tambahan' kepada Konvensyen Geneva mengkanunkan prinsip mengenai perbezaan antara anggota tentera dan orang awam yang merupakan satu aturan penting dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Bagi menjamin ianya dipatuhi dan orang awam dilindungi, pihak-pihak yang terbabit dalam konflik hendaklah membezakan antara orang awam dan anggota tentera serta antara objek awam dengan objektif ketenteraan dan menghalakan operasi mereka hanya terhadap objektif ketenteraan sahaja," katanya
Berasaskan kepada aturan tersebut, maka maka Aman Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengecam jenayah perang yang dilakukan oleh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat, yang telah menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dibawa oleh Qatar, supaya Israel menghentikan segera serangan tenteranya di Gaza.

