Hanya 2,600 kakitangan MAS ditawarkan MSS
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hanya meluluskan separuh daripada jumlah kakitangannya yang memohon mengambil Skim Perlepasan Sepakat (MSS) yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hanya meluluskan separuh daripada jumlah kakitangannya yang memohon mengambil Skim Perlepasan Sepakat (MSS) yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Uggah Embas berkata hanya 2,600 daripada 4,500 kakitangan MAS yang memohon, diberikan skim tersebut.
"Skim ini adalah satu skim persefahaman bersama antara pekerja dan pihak MAS. Apabila MAS menimbang permohonan-permohonan yang diterima, ia turut menimbang kedudukannya kerana ada pegawai yang memohon mempunyai kepakaran dan pengalaman yang masih diperlukan MAS.
"Maka sebab itulah kebanyakan mereka tidak diberikan MSS," katanya menjawab soalan Senator Wan Nordin Che Murat pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Wan Nordin dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah perancangan kerajaan untuk memastikan kakitangan MAS yang menerima tawaran MSS MAS berpeluang mendapat pekerjaan lain dalam rundingan bersama AirAsia dan syarikat penerbangan lain.
Skim MSS terakhir
Menurut laporan Bernama, Embas berkata, terpulanglah kepada syarikat penerbangan lain, termasuk AirAsia untuk menerima kakitangan MAS yang mengambil skim MSS berkhidmat dengan syarikat berkenaan.
Mengenai jumlah pampasan yang dibayar MAS, beliau berkata ia masih belum dimuktamadkan kerana syarikat tersebut masih mengira jumlah sebenar yang terbabit.
MAS juga telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa skim MSS itu adalah yang terakhir bagi mengurangkan kakitangan dalam syarikat penerbangan itu, katanya.
MSS yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Pemulihan Perniagaan untuk mengubah syarikat penerbangan kebangsaan itu menjadi sebuah entiti perniagaan menguntungkan, telah ditawarkan kepada lebih 18,000 kakitangan MAS yang tetap dan telah disahkan di seluruh dunia.
Sehingga tarikh tutup permohonan skim itu pada 7 Jun lepas, seramai 4,500 kakitangan syarikat penerbangan itu menyertainya, jauh daripada apa yang disasarkan iaitu 6,500 orang.
Bagaimanapun, MAS mempunyai 1,171 kakitangan yang akan bersara tahun ini dan tahun depan serta 2,761 kakitangan kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatannya dalam tempoh tiga bulan hingga lima tahun akan datang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.