Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lembaga disiplin Bersatu akan panggil Osman Sapian

  • Dikemas kini dengan penjelasan terbaru Megat Najmuddin dan Hamzah Zainuddin. 

Lembaga disiplin Bersatu akan memanggil bekas menteri besar Johor Osman Sapian susulan dakwaan membantu calon serpihannya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam pilihan raya kecil Slim baru-baru ini.

Pengerusinya Megat Najmuddin Megat Khas menjelaskannya keanggotaan Osman akan gugur sendiri jika dia terbukti bertindak demikian.

"Kalau betul dia buat macam tu memang dia kena buang.

“Sekarang dia dah nafikan yang dia pernah buat macam tu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Tengah hari tadi, Megat Najmuddin berkata keahlian Osman lucut serta merta secara automatik susulan tindakannya itu.

“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.

“Tak perlu didakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah Adun Kempas itu sudah dipanggil oleh pihak lembaga disiplin dan tindakan yang diambil susulan tindakan Osman yang didakwa membantu calon bebas di Slim.

Mengulas lanjut kekeliruan itu, Megat Najmuddin berkata bahawa Osman akan dipanggil secepat mungkin oleh lembaga disiplin untuk keterangan.

"Setiausaha lembaga disiplin akan hantar surat kepada dia secepat mungkin. Minta penjelasan betul atau tidak.

"Sebab ini politik. Kita tahulah banyak orang buat macam-macam kerenah," katanya.

Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan Osman seperti sedang berucap berkempen menyokong calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Bagaimanapun, Osman berkata kehadirannya di Slim sekadar bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.

Osman bagaimanapun, enggan mengulas mengenai kenyataan Megat Najmuddin itu ketika dihubungi sebelum ini.

PN kini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding Pakatan Harapan dengan 27 kerusi.

Jika Osman menyokong PH, DUN Johor boleh tergantung, menjadikan banyak keputusan kerajaan sukar mendapat laluan.

Bukan 'cross the floor'

Sementara itu, setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata Osman masih kekal sebagai anggota Bersatu.

Katanya, Osman hanya akan dipanggil untuk menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon bebas dan belum dikenakan sebarang tindakan.

“Kalau dia mengaku cross the floor (menyertai parti lain), makanya keahlian terhenti.

“Buat masa ini, dia bukan cross the floor. Jadi dia akan dipanggil untuk membantu siasatan. Biasanya siasatan akan ambil masa,” katanya lapor Bernama.

Lihat Komen
ADS