Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) akan menganjurkan Forum Syariah and Cabaran Semasa khusus itu membincangkan isu-isu terkini mengenai kedudukan Islam dalam sistem perundangan dan politik negara.

Forum tersebut akan membariskan lima ahli penal termasuk bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Sulaiman Abdullah dan Pengerusi Penguam Pembela Islam, Zainur Zakaria.

Menurut kenyataan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang turut menganggotai Pembela, forum tersebut akan diadakan Ahad ini bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur mulai jam 9 pagi.

Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, forum tersebut juga akan membincang beberapa perkembangan mutakhir yang membayangkan kedudukan istimewa Islam yang dijalan oleh Perlembagaan Persekutuan kian digugat oleh pihak-pihak tertentu dengan menggunakan saluran perundangan.

"Kes-kes permohonan murtad, cubaan meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan serta mentafsir hak kebebasan beragama dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengikut faham hak asasi manusia tanpa batas, amat menuntut keprihatinan umat Islam di Malaysia," katanya merangkap pengerusi mesyuarat Pembela.

Gabungan Article 11

Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut secara khusus pihak-pihak yang dimaksudkan itu, tetapi ia jelas merujuk kepada Gabungan Article 11 yang mengadakan forum awam mengenai kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain Sulaiman dan Zainur, ahli penal yang terdiri daripada bekas pensyarah Kulliyyah Undang-undang UIAM, Profesor Dr Abdul Aziz Baru dan bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Sheikh Azmi Ahmad.

Seorang lagi ahli penal ialah Presiden Abim, Yusri Mohamad manakala Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid bertindak sebagai moderator forum.

Menurut kenyataan itu lagi, Pembela merupakan gabungan wakil-wakil badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang perihatin dalam menangani isu-isu berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia.

"Mesyuarat pada 16 Julai lalu telah memutuskan untuk menubuhkan gabungan tersebut sebagai rangkaian gerak keraja bersama organisasi Islam di Malaysia," kata kenyataan tersebut.