Sokong PM: Samsu didakwa ada 'agenda tersendiri'
Pemangku Ketua Umno Bahagian Silam di Sabah, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman didakwa mempunyai 'agenda tersendiri" apabila bertindak mengutip tandatangan ahli bagi menyatakan sokongan bahagian tersebut terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pemangku Ketua Umno Bahagian Silam di Sabah, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman didakwa mempunyai 'agenda tersendiri" apabila bertindak mengutip tandatangan ahli bagi menyatakan sokongan bahagian tersebut terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika membuat dakwaan tersebut, Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Silam, Salleh Kalbi berkata, antara agenda tersebut ialah untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan Umno negeri dan Presiden parti bahawa beliau mendapat sokongan padu di peringkat akar umbi Umno Silam.
Katanya, strategi ini dibuat supaya Samsu dipilih sekali lagi untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
"Malangnya, Datuk Samsu dan para pemimpin lain tidak pernah membawa perkara dalam mana-mana mesyuarat peringkat bahagian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Malaysiakini menghubungi beliau bagi berhubung kenyataan akhbar Samsu mengenai ikrar taat setia yang ditandatangani oleh 33,173 ahli dari 368 cawangan Umno Silam kepada Abdullah baru-baru ini.
Dalam kenyataannya itu, Samsu yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilaporkan mengingatkan "orang yang berani menjatuhkan Abdullah supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu".
Tidak tahu tujuan
Dalam kenyataan akhbar yang dikatakan ditulis oleh Samsu, antara lain berbunyi: seluruh Jawatankuasa Bahagian Umno Silam termasuk Pemuda, Wanita, Puteri, Veteran dan ahli Umno Silam mencapai kata sepakat menentang apa jua bentuk penentangan dan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Abdullah.
"Kami menganggap mereka yang menentang kepimpinan Abdullah sebagai penderhaka kepada parti dan negara," kata kenyataan itu lagi.
Salleh yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah berkata, dakwaan Samsu bahawa seramai 33,173 ahli Umno telah menandatangani ikrar taat setia sebagai tidak benar.
Katanya, hanya 215 orang yang berbuat demikian manakala yang lainya (berbuat demikian) tanpa mengetahui tujuan sebenar tandatangan itu dikutip.
"Orang yang mengumpul tandatangan itu ialah Mutalib Sarail, bekas Setiausaha Datuk Samsu dan seorang lagi Konsul Nahul, ahli Umno cawangan Kampung Tanjung Labian, Silam," katanya lagi.
"Sekarang orang mahu tahu mengapa Datuk Samsu mendapatkan tandatangan tanpa mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian terlebih dahulu," katanya.
'Ada kelemahan'
Salleh berkata, beliau cuba mendapatkan penjelasan Samsu mengenai perkara itu tetapi beliau enggan menemuinya atas alasan sibuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Beliau mendakwa, kepimpinan Samsu tidak diterima sepenuhnya oleh ahli Umno Bahagian Silam kerana beberapa kelemahan yang ada padanya.
Menurutnya, Samsu juga melantik orang yang mempunyai hubungan dengannya untuk menduduki jawatankuasa Umno Silam.
"Ketua Puteri, Maizatum Akmam adalah isterinya manakala Setiausaha Bahagian, Firdaus Alawi adalah adik iparnya," kata Salleh lagi.
Bagaimanapun, Samsu tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau mengenai perkara tersebut.

