Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kini di peringkat akhir kajian Pejabat Peguam Negara dan hampir selesai, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau memberitahu sidang Dewan Negara hari ini bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan satu badan penyemakan bebas.

Menurut Bernama, beliau berkata, memandangkan penubuhannya merupakan satu perkara baru dalam pengurusan pentadbiran negara, maka ia memerlukan kajian yang terperinci.

"Kajian terperinci perlu kerana ia melibatkan implikasi perundangan serta tugas-tugas yang dijalankan oleh jabatan dan agensi kerajaan sedia ada," katanya menjawab pertanyaan Senator Chua Kim Chuan yang ingin tahu mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk menubuhkan suruhanjaya itu.

Johari berkata, kajian yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara itu turut melibatkan peranan agensi lain yang ada hubungkait dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Biro Pengaduan Awam (BPA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Bidangkuasa

Namun begitu, beliau menegaskan Pejabat Peguam Negara tidak terikat dengan apa yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Pengurusan PDRM, terutamanya dari aspek komposisi dan bidangkuasa badan penyemakan bebas itu.

Mengenai perbezaan pendapat mengenai penubuhan IPCMC antara Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar dan Timbalannya Tan Sri Musa Hassan, Johari berkata pendapat mereka tetap diambil kira.

"Kita bersikap terbuka dalam menerima pandangan daripada semua pihak termasuk Ketua Polis Negara. Jadi kita terima semua pandangan," katanya.

Beliau berkata selain mengambil kira pandangan agensi yang mempunyai hubungkait dengan PDRM dan daripada PRDM sendiri, pandangan daripada badan bukan kerajaan juga diambil kira oleh Pejabat Peguam Negara dalam kajian dan perancangan mengenai penubuhan IPCMC itu.