Dokumentari Locked Up in Malaysia's Lockdown terbitan Al Jazeera yang mencetuskan bantahan di kalangan pihak berkuasa Malaysia, di senarai pendek untuk anugerah laporan koronavirus oleh One World Media 2020.

One World Media adalah organisasi tanpa keuntungan berpangkalan di London yang mempromosikan media yang menyumbang kepada isu semasa global, pembangunan dan hak asasi manusia.

Locked Up in Malaysia's Lockdown diumumkan sebagai satu daripada 12 penyertaan yang terpilih daripada lebih 400 penyertaan dari 68 negara.

"Ia menunjukkan hasil kerja hebat wartawan dan pembuat filem yang melaporkan mengenai kesan wabak itu di seluruh dunia.

"Keluasan, kualiti dan keaslian penyertaan sangat luar biasa. Memaparkan masalah yang kurang dilaporkan, mendedahkan siasatan penting dan mengangkat wira-wira setempat," kata One World Media dalam pengumumannya.

Senarai akhir diumum 22 Oktober

Senarai rakhir akan dipilih oleh juri-juri berpengalaman dan pemenang akan diumumkan pada 22 Oktober.

Dokumentari lain yang turut terpilih adalah Bullet and the Virus oleh BBC Africa, Coronavirus by Air: The spread of Covid-19 in the Middle East oleh BBC News Arabic, How coronavirus hit Aden: A Yemeni doctor's diary oleh The New Humanitarian and India's Comfort Food Tells the Story of Its Pandemic oleh The Atlantic.

Penyertaan The Caravan and the MIT Technology Review oleh The Guardian turut terpilih.

Susulan penyiaran dokumentari tersebut Julai lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengkritik Al Jazeera dan menuntut permohonan maaf, mendakwanya sebagai memberi gambaran salah berkenaan cara kerajaan mengendalikan isu warga asing tanpa dokumen ketika penularan Covid-19.

Tujuh kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman untuk soal siasat.Pengarah Urusan Al Jazeera English Channel Giles Trendle menyifatkan layanan terhadap mereka sebagai serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Sementara itu, seorang warga Bangladesh Mohd Rayhan Kabir, yang diwawancara dalam dokumentari itu, ditahan sebelum diusir pulang ke negara asalnya.

Beberapa NGO menyifatkan tindakan kerajaan terhadap warga asing tanpa dokumen ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) - dengan ada di kalangan mereka dijangkiti wabak ekoran tempat tinggal yang sesak - telah meningkatkan sentimen negatif terhadap pelarian dan pendatang.