Lim bakal dihadapkan 2 pertuduhan salah guna harta Jumaat ini
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng akan dihadapkan dengan dua lagi pertuduhan berkaitan rasuah pada 11 September ini.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu selepas sebutan kes berlainan terhadap Lim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Bernama, Lim dijangka dihadapkan dengan dua pertuduhan baru mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
“Pihak pendakwaan telah menyerahkan notis kepada tertuduh pagi ini, untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu,” kata Wan Shahruddin seperti dipetik.
Katanya, ia merupakan pertuduhan terakhir berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Seksyen 403 berkaitan kesalahan penyalahgunaan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.
Ia membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, denda dan sebat.
Lim yang menerima notis selepas menghadiri sebutan kes untuk satu kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengecam langkah tersebut.
"Ini benar-benar tindakan bermotif politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melakukannya sehari sebelum penamaan calon PRN Sabah," katanya seperti dipetik the Malay Mail.
Katanya, pendakwaan itu akan menjejaskan jadual kempennya.
Bagaimanapun dia berkata akan tetap menyertai kempen PRN yang akan berjalan selama dua minggu, iaitu sehingga 25 September.
Kemungkinan Lim dihadapkan dengan pertuduhan baru telah dilaporkan sejak minggu lalu.
Setiausaha agung DAP itu mendakwa SPRM membocorkan maklumat sebelum dia menerima notis, yang disifatkannya sebagai tindakan tidak profesional.
Lim sudah didakwa sebanyak tiga kali sejak Ogos lalu.
Pada 7 ogos lalu, dia dihadapkan dengan pertuduhan meminta suapan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 10 Ogos pula, dia berdepan satu lagi pertuduhan berhubung dakwaan suapan RM3.3 juta yang dikatakan untuk membantu Consortium Zenith Construction Sdn Bhd mendapat projek itu.
Keesokannya, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 atas dakwaan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Dia mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan.

