Pasca-Covid-19: Thailand cadang tubuh kemudahan pemulihan PKS Asean
Thailand pada Rabu mencadangkan penubuhan Kemudahan Pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Asean untuk pasca-Covid-19 di rantau ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (MFA) berkata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai mengemukakan syor itu semasa turut serta pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-53 (AMM-53) menerusi sidang video dari Bangkok pada Rabu.
AMM-53 dan mesyuarat yang berkaitan bermula semalam hingga Sabtu, dengan fokus utama perbincangan antaranya mengenai Covid-19, selain persiapan Sidang Kemuncak Asean ke-37 dan Sidang Kemuncak yang berkaitan pada November.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Vietnam merangkap Menteri Luar, Pham Binh Minh, turut disertai Setiausaha Jeneral Asean Datuk Lim Jock Hoi dan semua Menteri-Menteri Luar Asean.
Vietnam adalah Pengerusi Asean 2020.
Menurut kenyataan itu lagi AMM-53 turut membincangkan kaedah efektif bagi membendung penularan Covid-19 dan mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan global, terutamanya peralatan perubatan.
"Menteri-Menteri Luar Asean menekankan pentingnya Asean secara kolektif menangani pemulihan ekonomi pasca-Covid-19," katanya.
Di samping itu perbincangan turut menjurus mengenai situasi serantau seperti Laut China Selatan, migran haram di Lautan Hindi dan isu Semenanjung Korea, tidak ketinggalan perkembangan terkini berhubung keadaan di Rakhine, Myanmar, dalam konteks kesan Covid-19 terhadap pembangunan.
Don turut menyertai Majlis Penyelaras Asean ke-27, membincangkan kemajuan dan usaha berterusan Asean dalam memerangi pandemik Covid-19, mengulangi komitmen untuk mempercepat pelaksanaan keputusan pemimpin Asean mengenai perkara itu, termasuk meningkatkan kerjasama mengenai pembangunan serta penyelidikan, selain mendorong operasi Dana Respons Covid-19 yang berkesan.
Thailand turut membangkitkan mengenai pentingnya keselamatan manusia, penggunaan teknologi digital dan meningkatkan pembangunan mampan bagi menyokong pemulihan pasca-Covid-19.
Semasa Sesi Khas Mesyuarat Majlis Penyelarasan Asean mengenai Pembangunan Sub-Wilayah, yang diperkenalkan Vietnam, Don menggariskan objektif utama integrasi Asean, termasuk merapatkan jurang pembangunan, pembangunan mampan dan pembangunan modal insan yang akan membantu memacu pembangunan.
"Beliau (Don) lebih menekankan pentingnya peningkatan hubungan serantau, terutama di antara pelbagai koridor ekonomi dalam kerangka Sub-Wilayah, yang akan memanfaatkan posisi Asean dalam rantaian nilai dan penawaran global," katanya.
- Bernama

